GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Kuala Lumpur: Lebih 90 peratus sayuran di negara ini mengalami masalah lambakan dan terpaksa dijual di bawah kos pengeluaran iaitu tidak sampai RM1 bagi sekilogram.

Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan Pekebun Sayur Malaysia Chay Ee Mong berkata, sayur seperti timun dan lobak putih paling susah untuk dijual ketika ini kerana tiada permintaan.

Memberi contoh, Chay berkata, lobak putih hanya boleh dijual sekitar 20 hingga 30 sen sekilogram dan ia tidak dapat menampung kos pengangkutan pihaknya untuk menghantar ke pasar berbanding sebelum ini, lobak putih boleh dijual sekitar RM3 sekilogram.

"Selain itu, terdapat juga lambakan kubis, kailan, sawi jepun, daun bawang dan tomato. Kubis bulat pada Februari lalu kita dapat jual kira-kira RM1.50 sekilo namun kini hanya 80 sen, begitu juga tomato RM4 sekilo tetapi kadar itu sudah tidak dapat dicapai.

"Semua sayuran ini dijual di bawah RM1 bagi setiap kilogram. Harganya terlalu rendah, pasar pun tidak mahu mengambil bekalan sayur ini kerana memang tiada permintaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing (PPSBL) dilaporkan berdepan lambakan timun sejak akhir bulan lalu hingga menyebabkan sebahagian hasil tanaman itu iaitu kira-kira enam tan timun terpaksa dibuang setiap hari.

Timbalan Pengerusi PPSBL Yusup Abd Rahaman berkata, disebabkan lambakan itu, timun berkenaan terpaksa dijual secara borong serendah 30 hingga 50 sen sekilogram, berbanding sebelum ini RM4 hingga RM5 sekilogram sekali gus menjadikan ia sebagai tempoh paling teruk dalam tempoh dua tahun.

Dalam pada itu Chay berkata, kebanyakan daripada pengusaha hanya membiarkan sayuran itu tidak dikutip bagi mengurangkan kos yang perlu ditanggung.

"Ramai pengusaha kini tidak mahu mengutip bekalan sayur ini, sebab kalau kutip mereka akan rugi kerana terpaksa membayar kos pengangkutan, kos pembungkusan dan sebagainya," katanya.

Bagaimanapun, Chay berharap isu lambakan ini akan berakhir pada awal Mei iaitu ketika cuti perayaan Aidilfitri sudah tamat.

"Kita harap bulan depan harga sayur ini dapat dipulihkan dan cuaca pun tidak macam sekarang. Sebab kini, cuaca sangat baik dan tanaman mengeluarkan hasil yang banyak.

"Namun disebabkan cuti panjang sempena Aidilfitri, permintaan menjadi kurang. Mungkin selepas ini, orang sudah masak di rumah masing-masing atau pun mengadakan rumah terbuka, mereka akan kembali membeli sayur berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 5:01 PM