GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Paya Linda Yahya

Gua Musang: Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing (PPSBL) mendedahkan berlaku lambakan timun batang sejak akhir bulan lalu sehingga hasil tanaman terpaksa dibuang setiap hari.

Lambakan itu menyebabkan pekebun terpaksa membuang sehingga enam tan timun batang setiap hari.

Timbalan Pengerusi PPSBL, Yusup Abd Rahaman, berkata disebabkan lambakan itu, timun batang dijual secara borong hanya 30 hingga 50 sen saja sekilogram, berbanding sebelum ini RM4 hingga RM5 sekilogram.

Katanya yang turut menyifatkan lambakan itu adalah paling teruk dalam tempoh dua tahun sehingga pekebun terpaksa membuang hasil tanaman.

"Situasi ini berlaku sejak akhir bulan lalu. Setiap tahun pun akan ada situasi berlaku lambakan namun tidak seteruk sebagaimana tahun ini sehingga harga yang dijual secara borong serendah 30 hingga 50 sen saja.

"Bagaimanapun, keadaan ini kita sudah jangka kerana cuaca yang baik menyebabkan hasil pengeluaran meningkat.

"Pada masa sama, kerajaan juga masih mengimport timun batang dari luar negara termasuk Thailand yang turut menyumbang kepada berlaku lambakan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan supaya tidak mengimport timun batang bagi mengelak masalah lambakan terus berulang.

"Bila harga terlalu murah, hasil jualan pun tidak mampu menampung kos pengangkutan menyebabkan pekebun memilih untuk membuang hasil tanaman itu.

"Selain timun batang, tomato juga berdepan situasi sama apabila harga borong yang dijual hanya RM1.50 saja berbanding sebelum ini RM6 sekilogram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 2:38 PM