DUA lelaki berjaya ditahan polis selepas disyaki mencuri kabel bernilai RM2,000 dari sebuah kedai di Pandan Perdana, Ampang, semalam. FOTO ihsan POLIS
DUA lelaki berjaya ditahan polis selepas disyaki mencuri kabel bernilai RM2,000 dari sebuah kedai di Pandan Perdana, Ampang, semalam. FOTO ihsan POLIS
Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Dua sahabat tidak sempat berjoli wang RM300 hasil jualan kabel yang dicuri dari sebuah kedai di Pandan Perdana di sini, apabila mereka ditahan polis tidak sampai 10 jam selepas kejadian, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku jam 11 pagi selepas kedua-dua suspek berusia 38 dan 39 tahun itu dilihat melarikan kabel bernilai RM2,000 di hadapan kedai.

"Laporan dibuat oleh pengarah syarikat sebaik menerima maklumat kejadian daripada pekerjanya.

"Polis yang menjalankan siasatan mengesan dan menahan dua suspek di kawasan Pudu Cheras, dekat sini, pada jam 10 malam hari sama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas motosikal dan pakaian digunakan suspek semasa kejadian.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku kabel yang dicuri sudah dijual di sebuah kedai besi buruk di kawasan Kampung Pandan," katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 32 rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan curi, manakala suspek kedua mempunyai 14 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 2:28 PM