GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Ampang: Dua lelaki disyaki mencuri minuman keras di sebuah pasar raya di Pandan Indah di sini, ditahan polis awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.05 pagi itu, anggota polis yang sedang membuat rondaan di kawasan berhampiran mendengar seorang wanita menjerit meminta tolong sambil mengejar dua lelaki.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, anggota terbabit segera memberi pertolongan sebelum berjaya menahan suspek.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas dua bungkusan mengandungi 12 tin minuman keras bernilai RM78 dipercayai dicuri dari pasar raya berkenaan.

"Kedua-dua lelaki berusia 28 dan 34 tahun yang bekerja sebagai kelindan lori dan pemandu e-hailing itu dibawa ke balai polis untuk siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, suspek kini direman empat hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 2:42 PM