Paya Linda Yahya


Gua Musang: Seorang suami di Kampung Stelu, di sini, cekal menjaga isterinya yang buta akibat kencing manis sejak setahun lalu.

Pengorbanan besar dilakukan, Rohaizad Che Soh, 45, kerana cintakan isterinya, Nik Noor Saliza Mohd Yusof, 34.

Rutin harian Rohaizad berubah sejak kedua belah mata isterinya sudah tidak nampak sejak setahun lalu akibat penyakit kencing manis yang dihidapi lebih 10 tahun lalu.

Malah kaki kanan Nik Noor Saliza juga dipotong kerana penyakit itu enam tahun lalu selain turut mempunyai penyakit buah pinggang dan kini perlu menjalani rawatan dialisis.

Menurut Rohaizad, setiap hari pada awal pagi dia akan menguruskan segala keperluan isteri sebelum keluar bekerja dengan mengambil upah melakukan kerja kampung.

Katanya, keadaan isterinya yang tidak nampak membuatkan dia perlu memberikan sepenuh perhatian termasuk mandikan, beri makan dan sedia segala keperluan ubat-ubatan.

"Saya terima isteri dengan seadanya dan kasih sayang saya tidak pernah berubah. Sepanjang ketiadaan saya di rumah, emak dan anak perempuan akan tengokkan isteri sekiranya ingin ke tandas atau hendak makan dan minum.

"Saya juga perlu bekerja untuk menampung kehidupan termasuk kos ulang alik ke hospital. Setiap tiga kali seminggu kami perlu berulang alik ke Hospital Gua Musang yang jaraknya hampir 40 kilometer (km) bagi mendapatkan rawatan dialisis.

"Kami perlu berulang alik ke hospital sebanyak 12 kali sebulan untuk rawatan dialisis isteri menyebabkan kami kena berjimat kerana perlu menanggung kos minyak.

"Rawatan isteri adalah keutamaan saya, walau sukar saya akan hadapi bagi membolehkan isteri mendapat rawatan sepatutnya," katanya yang mempunyai dua anak tiri berusia 10 dan 14 tahun.

Rohaizad berkata, dengan pendapatan yang tidak menentu kerana menerima gaji berdasarkan upah seperti memotong rumput, bersihkan kebun dan membaiki rumah adakalanya dia juga terputus sumber kewangan.

"Tidak dinafikan ada ketikanya pendapatan yang terima hanya cukup makan dan ada ketikanya mengharapkan ihsan ibu yang tinggal di sebelah rumah untuk makan. Namun, wang JKM diterima isteri sebanyak RM500 setiap bulan sedikit sebanyak membantu termasuk menampung kos minyak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 2:37 PM
ROHAIZAD membantu isterinya menguruskan diri akibat masalah kesihatan. FOTO Paya Linda Yahya
ROHAIZAD membantu isterinya menguruskan diri akibat masalah kesihatan. FOTO Paya Linda Yahya