Paya Linda Yahya


Gua Musang: Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengubah penghadang jalan di laluan alternatif Jalan Gua Musang-Kuala Lipis kerana boleh mengelirukan pengguna lain terutama perantau yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, tindakan itu juga boleh mambahayakan pengguna jalan terbabit selepas polis mengesan penghadang jalan dialihkan di hadapan Hentian Gua Musang.

"Tindakan individu mengalihkan penghadang jalan itu dipercayai kerana dia ingin memudahkan pergerakan dan memendekkan perjalanan berbanding laluan alternatif yang lebih jauh.

"Justeru, kami mengharapkan supaya orang ramai tidak mengalih lencongan yang dibuat pihak berkuasa demi keselamatan pengguna lain.

"Kita tidak perlu mementingkan diri sendiri untuk cepat sampai ke destinasi sehingga mengubah lencongan yang dibuat pihak berkuasa. Lencongan itu dibuat untuk keselesaan pada masa akan datang kerana memberi laluan kepada pembinaan Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pemantauan lencongan yang dibuat Jabatan Kerja Raya (JKR) di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang, di sini.

Menurutnya, pihak polis akan melakukan pemantauan berterusan bagi menjaga keselamatan pengguna terutama pada musim perayaan ini.

Katanya, pemantauan sudah bermula sejak tiga hari lalu dan sebanyak lima kes kemalangan sudah direkodkan di laluan alternatif berkenaan.

"Kita berharap pengguna jalan raya lebih berhati-hati, beri perhatian ketika memandu dan sentiasa bersabar serta jangan ikut perasaan apabila berada di atas jalan raya," katanya.

Terdahulu, JKR mengubah laluan alternatif di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis bermula 15 April sehingga 2 Mei ini bagi melancarkan perjalanan susulan pertambahan kenderaan sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 2:20 PM