Paya Linda Yahya


Gua Musang: Sebanyak 76 lokasi panas kemalangan di seluruh negara kini dalam pemantauan pihak polis sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 18 lokasi adalah di Kelantan.

"Lokasi ini membabitkan jalan persekutuan yang menjadi laluan perhubungan antara negeri dan daerah utama di negeri ini," katanya.

Terdahulu beliau menyantuni pengguna jalan raya di laluan alternatif Gua Musang yang turut diiringi Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo.

Mat Kasim berkata, antara faktor yang menyumbang kemalangan adalah sikap pengguna jalan raya.

"Antara sikap pengguna yang boleh menyumbang kemalangan adalah keletihan, ketegangan emosi dan memandu sambil bermain alat komunikasi atau gajet.

"Selain melanggar peraturan lampu isyarat warna merah, menukar lorong tanpa memberi isyarat dan memandu dengan sangat laju tanpa memikirkan pengguna jalan raya yang lain juga punca utama kemalangan waktu raya.

"Saya ingin menasihati pengguna supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya, patuhilah arahan pihak berkuasa dan jangan memandu dalam keadaan melulu," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan pihak konsensi, secara purata 200,000 kenderaan masuk ke Pantai Timur sehari bermula Selasa lalu.

"Daripada jumlah itu, 45 peratus atau dianggarkan sebanyak 90,000 kenderaan menuju ke Kelantan. Pihak PDRM akan meneruskan pemantauan melalui udara bagi melihat lokasi yang dijangkakan akan sesak.

"Ia bagi membantu petugas di lapangan mengambil tindakan segera menyuraikan lalu lintas," katanya.

MAT Kasim menyantuni perantau yang menggunakan laluan Gua Musang-Kuala Lipis untuk pulang ke kampung halaman. FOTO Paya Linda Yahya
MAT Kasim menyantuni perantau yang menggunakan laluan Gua Musang-Kuala Lipis untuk pulang ke kampung halaman. FOTO Paya Linda Yahya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 5:10 PM