Khairulmizan Yahya


Kuantan: Walaupun kerajaan memberi kebenaran bersyarat untuk penjualan mercun dan bunga api ketika musim perayaan, ibu bapa dan penjaga perlu memantau anak mereka ketika bermain mercun bagi mengelak insiden tidak diingini.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun berkata, keadaan cuaca panas ketika ini boleh mencetuskan kebakaran sekiranya anak-anak bermain mercun tanpa pengawasan.

"Sekarang memang musim cuaca yang luar biasa panas dan jika tidak dipantau boleh mendatangkan bahaya seperti kebakaran dan kalau boleh kita cuba elakkan daripada berlaku.

"Begitu juga insiden tidak diingini lain, macam apa yang berlaku di tempat lain, ada yang cedera, putus tangan dan jari ketika bermain mercun.

"Jadi kalau boleh kita tidak mahu perkara (kejadian) itu berlaku di sini," katanya dalam kepada media, di sini, petang kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya Sempena Aidilfitri anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa dan Penolong Pengarah (Operasi) JBPM Pahang, Ismail Abdul Ghani.

Dalam pada itu, Johari turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika memandu sepanjang cuti perayaan Aidilfitri yang bermula Khamis ini.

Johari Harun (dua dari kanan) bersama Dr Wan Mohammad Zaidi (kiri) melawat gerai pameran sempena  Majlis Pelancaran Ops Raya di Padang MBK 1. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Johari Harun (dua dari kanan) bersama Dr Wan Mohammad Zaidi (kiri) melawat gerai pameran sempena Majlis Pelancaran Ops Raya di Padang MBK 1. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Sementara itu, Wan Mohammad Zaidi berkata, terdapat peningkatan aduan kebakaran sejak awal Ramadan lalu berikutan cuaca panas luar biasa.

"Walaupun kebanyakan kes (kebakaran) membabitkan kejadian kebakaran struktur atau bangunan, namun ada juga (laporan) kebakaran hutan akibat cuaca panas.

"Ini semua disebabkan pelbagai faktor, macam kebakaran bangunan, biasanya mempunyai kaitan dengan masalah pendawaian yang sudah lama, melebihi 10 tahun.

"Kita sentiasa mengingatkan pemilik bangunan supaya lebih peka dengan tahap keselamatan pendawaian dan melakukan pemeriksaan secara berjadual bagi memastikan ia berada dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 2:08 PM