BERNAMA

Kuantan: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli melawat empat mangsa kebakaran rumah di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke lobi utama HTAA pada 3.15 petang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda baginda iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Turut berada di HTAA ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus dan Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu.

Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah dan Tengku Hassanal Ibrahim tiba di lobi HTAA ketika melawat mangsa kebakaran dua buah rumah yang dipercayai daripada beberapa bahan, termasuk mercun dan bunga api di lobi HTAA. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah dan Tengku Hassanal Ibrahim tiba di lobi HTAA ketika melawat mangsa kebakaran dua buah rumah yang dipercayai daripada beberapa bahan, termasuk mercun dan bunga api di lobi HTAA. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Seri Paduka Baginda berdua seterusnya meluangkan masa hampir 35 minit melawat mangsa di ICU selain turut berkenan mendengar taklimat ringkas Wan Mohammad Zaidi mengenai kebakaran sebelum berangkat pulang pada 3.55 petang.

Kebakaran yang membabitkan dua rumah teres jenis semi-D setingkat di Jalan Permatang Badak Perdana 2, di sini, pada 3.15 pagi itu turut mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 6:32 PM