ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang cedera. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa yang cedera. FOTO Ihsan Bomba.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Empat individu cedera dalam kemalangan berasingan di dua lokasi di daerah ini, semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata, kejadian pertama diterima jam 5.56 petang di Taman Sri Cahaya, Bestari Jaya dan sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan laporan awal, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah van membawa muatan barang runcit dinaiki pasangan suami isteri dan kereta Toyota Yaris dipandu seorang lelaki berusia 20-an.

"Van terbabit bertembung dengan Toyota Yaris menyebabkan kenderaan itu terbabas dan terbalik ke dalam longkang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Morni berkata, penumpang van berusia 36 tahun dan pemandu Toyota Yaris berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pihak bomba tiba.

Menurutnya, pemandu van berusia 42 tahun pula dikeluarkan anggota bomba disebabkan badannya tersangkut pada stereng.

"Semua mangsa cedera ringan di tangan dan muka. Mereka dibawa ke Hospital Tanjong Karang dengan menaiki ambulans," katanya.

Morni berkata, kejadian kedua di Jalan Dato Karjan, Bukit Badong, pula membabitkan sebuah kereta Proton Iswara dinaiki dua lelaki warga Indonesia berusia 20-an dan sebuah motosikal ditunggang seorang wanita berusia 20 tahun.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.49 petang dan sepasukan enam anggota bersama jentera dari BBP Bestari Jaya dikerahkan ke tempat kejadian.

"Kereta terbabit dipercayai terbabas dan melanggar motosikal lalu terbalik ke bahu jalan.

"Sementara, penunggang motosikal pula tercampak ke dalam parit sedalam 1.5 meter," katanya.

Beliau berkata, mangsa wanita mengalami patah kaki kiri dihantar ke Hospital Tanjong Karang.

Katanya, pemandu dan penumpang Proton Iswara tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2023 @ 7:45 AM