Siti Rohana Idris


Tumpat: Majlis Amanah Raya (Mara) meluluskan peruntukan sebanyak RM56,000 untuk pembelian dua pam air bagi mengatasi isu bekalan air di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat.

Pengumuman itu dibuat Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selepas menerima aduan warga sekolah itu berhubung masalah yang sudah dialami sejak lebih 10 tahun lalu.

Asyraf Wajdi berkata, peruntukan itu diluluskan dengan kadar segera selepas melihat ia adalah keperluan mendesak walaupun isu itu sepatutnya ditangani kerajaan negeri.

"Isu ini terkait dengan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), selagi mana isu paling pokok tak selesai, (masalah) ini akan berterusan.

"Tapi bagi memastikan anak-anak (pelajar) ini tidak terheret dengan masalah berterusan, pihak sekolah mencadangkan supaya pam air ditambah.

"Saya terus meluluskan kos berjumlah RM56,000 hari ini untuk pembelian dua pam bagi menyelesaikan masalah air di sekolah ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

ASYRAF Wajidi menunjukkan pam air yang digunakan untuk menyedut air bawah tanah bagi menampung kekurangan bekalan yang dihadapi warga MRSM Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ASYRAF Wajidi menunjukkan pam air yang digunakan untuk menyedut air bawah tanah bagi menampung kekurangan bekalan yang dihadapi warga MRSM Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Asyraf Wajdi menyifatkan penyediaan pam itu adalah sebagai usaha membantu kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah yang 'dicipta sendiri'.

Selain MRSM Tumpat, beliau dimaklumkan masalah yang sama dialami di MRSM Pasir Tumboh, Kota Bharu dan akan meninjau sejauh mana keseriusan isu itu nanti.

Terdahulu beliau hadir di MRSM Tumpat di sini, sempena sesi libat urus bersama warga kerja sekolah itu dan meluangkan masa kira-kira satu jam mendengar perkembangan semasa termasuk sesi soal jawab.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 12:55 PM