Rosli Ilham


Dungun: Seorang tukang rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya dengan memukulnya menggunakan tukul besi.

Tertuduh, Mohd Amir Hamzah, 32, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noradila Ab Latif.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa, Rubiah Sabtu, 41, dengan memukulnya di sebuah rumah di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini, di antara jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi pada 5 April lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 13 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Athirah Hashim manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hafizul Faris Che Razlan.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang wanita maut dipercayai dipukul dengan tukul besi oleh suaminya dalam kejadian di Kampung Besol, Bukit Besi.

Sebelum itu, kejadian itu dipercayai berlaku perselisihan faham terhadap pasangan terbabit sehingga menyebabkan suspek bertindak di luar kawalan.

Berikutan kejadian itu menyebabkan mangsa, Rubiah Sabtu, 41, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka dan kepala.

Mangsa yang mengusahakan perniagaan kedai runcit sebelum itu pernah berkahwin dan dikurniakan enam anak dan hasil perkahwinan dengan suspek, mangsa mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 12:32 PM