TUJUH Adun Umno Sabah diketuai Yakub Khan menemui Hajiji di kediamannya, malam tadi. FOTO Facebook YB Datuk Arifin Arif
TUJUH Adun Umno Sabah diketuai Yakub Khan menemui Hajiji di kediamannya, malam tadi. FOTO Facebook YB Datuk Arifin Arif
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno Sabah menemui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selepas perjumpaan pemimpin Umno negeri di Bangunan Umno Sabah, semalam.

Pertemuan yang diketuai Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Yakub Khan itu berlangsung di kediaman Hajiji, malam tadi.

Perkara itu dikongsikan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Ariffin Arif yang turut hadir pada perjumpaan berkenaan.

"Adun Umno diketuai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah Datuk Yakub Khan berkunjung silaturahmi kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Ketua Menteri di kediaman beliau," katanya dalam perkongsian di laman Facebook beliau.

Antara Adun Umno yang hadir pada perjumpaan itu ialah Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy (Tanjung Batu) dan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Hamsan Ag Supain (Sungai Sibuga).

Turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk James Ratib (Sugut); Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Harun Durabi (Bengkoka); Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); dan Datuk Raimie Unggi (Adun dilantik).

Petang semalam, semua Adun Umno Sabah diketuai Datuk Seri Bung Moktar Radin berkumpul di Bangunan Umno Sabah, di sini, ketika timbul spekulasi mengenai pertukaran tampuk kerajaan negeri melalui kerjasama Parti Warisan (Warisan) dan Umno Barisan Nasional (BN).

Pada masa sama, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijadual mengadakan sidang media di lokasi berasingan pada 4.30 petang semalam dipercayai ada kaitan dengan spekulasi berkenaan, namun ditangguhkan selepas petugas media menunggu lebih dua jam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 January 2023 @ 9:59 AM