Oleh Suraya Roslan

Ampang: Kerajaan dicadang mengisytiharkan semua tanah miliknya terutama tanah yang dijadikan kuarters kerajaan sebagai Tanah Rizab Melayu (TRM) bagi mengurangkan jurang antara kaum yang dilihat semakin kritikal.

Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, ia bertujuan menyelamatkan tanah itu daripada dimonopoli satu kaum saja terutama di Kuala Lumpur.

“Pemilikan hartanah oleh Bumiputera semakin merosot, malah wujudnya jurang perbezaan antara pemilikan tanah bukan Bumiputera dan Bumiputera.

“Kita kena melihat dan memahami bahawa Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia, sebuah negara yang majmuk dan pembangunan Kuala Lumpur mesti menggambarkan komposisi masyarakat yang majmuk,” katanya pada sidang media di Desa Pandan, di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (PEMIKIR) berkata, apa yang berlaku sekarang adalah wujud jurang antara kaum yang dikhuatiri jika dibiarkan tidak lagi melambangkan sebagai ibu negara Persekutuan.

“Kita jangka hanya 21.9 peratus tanah yang ada di Kuala Lumpur, tanah milik kerajaan dan selebihnya dimiliki kaum lain.

“Oktober lalu kami juga sudah merujuk kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur sendiri untuk mengetahui peratusan sebenar TRM dan beliau sendiri tidak dapat memastikan statistik itu,” katanya.

Katanya, gesaan mahu kerajaan menukar status semua tanah milik kerajaan di ibu kota yang belum dibangunkan kepada status TRM perlu dilaksanakan bagi menjaga hak setiap kaum.

“Banyak pembangunan di Kuala Lumpur dan didapati kita ada ‘ketidakseimbangan’ dari segi komposisi kaum yang tinggal di Kuala Lumpur, kalau perkara ini dibiarkan begitu, satu masa akan jadi bahaya kepada keamanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:11 AM