GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Ipoh: Anggota tentera dilaporkan hilang ketika menjalankan tugas operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum, dekat Gerik, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dalam satu kenyataan hari ini, berkata anggota tentera berusia 33 tahun adalah dari Batalion ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Bentong, Pahang.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan kehilangan anggota berpangkat Koperal itu pada 12.50 tengah malam, semalam.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak hari pertama kehilangan dan sehingga kini anggota berkenaan belum ditemui.

"Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian kehilangan berlaku Jumaat lalu pada jam 5 petang semasa mangsa bersama lima anggota lain menjalankan operasi di kawasan penugasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 8:47 PM