Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Pelantikan Bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) belum mencapai kata putus dan akan diteliti semula, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu sudah dibincangkan antara beliau bersama Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Anwar berkata, penelitian semula boleh dilakukan berikutan surat pelantikan juga belum dihantar kepada Abdul Azeez.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada pengagihan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah 2 (STR2) di Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Meru Raya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lantikan ahli yang mempunyai jawatan dalam UMNO menerajui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau badan berkanun yang mutakhir ini menjadi bualan ramai pihak.

ANWAR berkunjung ke Bazar Ramadan Taman Jati sempena Rahmah Ramadan Tambun di Ipoh. FOTO L MANIMARAN
ANWAR berkunjung ke Bazar Ramadan Taman Jati sempena Rahmah Ramadan Tambun di Ipoh. FOTO L MANIMARAN

Sebelum ini media melaporkan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan melantik Abdul Azeez Rahim sebagai Pengerusi KEDA yang baharu pada sebuah majlis di Masjid Al-Aqla, Pekan Jitra, Alor Setar, Kedah pada Rabu lalu.

Sementara mengulas mengenai pelantikan ahli UMNO menerajui GLC, Anwar berkata antara syarat lantikan adalah bertanggungjawab, tidak boleh berbelanja melebihi had ditentukan serta pembayaran elaun dihadkan mengikut kelayakan masing-masing.

"Beberapa pelantikan itu bukan bagi syarikat di dalam 'public listed' (senaraian awam). Itu (bagi) GLC, kalau dia ada kelayakan misalnya sebagai akauntan atau peguam maka kita akan lantik tetapi dengan syarat ketat.

"Jangan andaikan GLC itu itu seperti pernah berlaku sebelumnya. Kita membuat syarat mereka yang dilantik perlu jalankan tanggungjawab, tak boleh berbelanja lebih dari yang ditentukan, dan elaun-elaun pun kita hadkan mengikut kelayakan masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 7:16 PM