Mohd Roji Kawi

Kuching: Beberapa strategi khusus bagi memastikan rantaian makanan negara mencukupi untuk keperluan rakyat sudah dirangka untuk dilaksanakan segera.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, strategi itu akan dibentangkan ke Majlis Kabinet Keterjaminan Makanan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Fadillah berkata, beliau bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengetuai jawatankuasa teknikal yang meneliti strategi itu.

"Antara tumpuan di dalam strategi itu ialah memastikan keseluruhan rantaian bekalan makanan seperti benih berkualiti, input pertanian seperti baja, baka haiwan ternakan serta makanan haiwan.

"Selepas itu kita akan menyelaras semua kementerian berkaitan yang mengambil bahagian termasuk Kementerian Perladangan dan Komoditi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Bubur Lambuk dan Sumbangsih Ramadan Media Sarawak dan Liansin 2023 di Satok, hari ini.

FADILLAH (tiga kanan) menghadiri  Majlis Pelancaran Program Bubur Lambuk dan Sumbangsih Ramadhan Media Sarawak dan Liansin di Satok. FOTO Nadim Bokhari.
FADILLAH (tiga kanan) menghadiri Majlis Pelancaran Program Bubur Lambuk dan Sumbangsih Ramadhan Media Sarawak dan Liansin di Satok. FOTO Nadim Bokhari.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, selain itu turut menjadi tumpuan utama ialah penggunaan teknologi dalam pengeluaran makanan.

"Ia bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi yang mampu dibeli oleh rakyat," katanya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata semua kementerian yang terbabit akan mengambil bahagian dalam memastikan keterjaminan makanan.

"Ia termasuk kementerian saya (Perladangan dan Komoditi) yang akan bekerjasama dengan pemilik ladang besar untuk mengusahakan penanaman dan penternakan.

"Selain itu, kementerian lain juga boleh bekerjasama dengan syarikat besar untuk mendapatkan hasil kajian pihak universiti seperti baja, benih atau baka haiwan berkualiti," katanya.

Sementara itu, berhubung perjumpaan dengan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini, Fadillah berkata, ia adalah perbincangan awal berhubung pemberian peruntukan kerajaan kepada pembangkang.

"Dalam perjumpaan itu kita meminta mereka membuat tawaran kepada kerajaan secara bertulis berhubung pemberian peruntukan itu.

"Apabila mereka sudah membuat tawaran, kita akan membentuk pasukan kalangan kerajaan untuk kita membuat perundingan lanjut dan seterusnya melihat apa skop yang boleh kita bekerjasama antara kerajaan dan pembangkang," katanya.

Menurutnya lagi, kaedah sama pernah dilaksanakan kerajaan terdahulu dengan ada terma dan syarat yang ditetapkan.

"Kita akan berbincang mengenai kerangka untuk mereka menulis permohonan secara rasmi dan kemudian membuat tawaran apa rangka kerja yang mereka hendak tawarkan berhubung kerjasama dengan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 7:05 PM