FADILLAH (dua, kiri) ketika menghadiri Program Agihan Bubur Kacang Hijau anjuran JKKK Enam Taman di Surau Al-Hidayah, Taman Sejoli di sini, hari ini. FOTO Bernama.
FADILLAH (dua, kiri) ketika menghadiri Program Agihan Bubur Kacang Hijau anjuran JKKK Enam Taman di Surau Al-Hidayah, Taman Sejoli di sini, hari ini. FOTO Bernama.
Mohd Roji Kawi


Kuching : Penyertaan United Kingdom (UK) di dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) diyakini akan mengukuhkan lagi kerjasama dalam bidang komoditi dan mempergiatkan lagi perdagangan dengan negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah UK itu juga diharap akan membuka laluan kepada Kesatuan Eropah (EU) bagi memahami semua langkah yang diambil Malaysia dalam memastikan kelestarian pengeluaran kelapa sawit serta produk hutan.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi turut mengalu-alukan kenyataan Setiausaha Perdagangan UK, Kemi Badenoch yang menafikan bahawa penyahutanan berhubung kait dengan aktiviti perladangan kelapa sawit.

"Kita menyambut baik segala perundingan dan mengalu-alukan kemasukan UK (ke dalam CPTPP) dan ia peluang terbaik untuk mengukuhkan hubungan sedia ada Malaysia dengan UK sebagai rakan dagangan utama rantau Indo-Pasifik.

"Pada masa yang sama kita juga mengalu-alukan kenyataan Badenoch bahawa apa yang dikatakan berhubung kait dengan penyahutanan atau 'deforestation' atau 'negative campaign' berhubung kait dengan kelapa sawit adalah tidak benar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Pengagihan Bubur Kacang Hijau di Surau Al Hidayah, Taman Sejoli, Petra.Jaya di sini, hari ini.

Fadillah berkata, Badenoch, turut mengakui sawit adalah produk yang produktif, sihat dan digunakan secara meluas serta boleh bersaing dengan mana-mana minyak serta lemak yang dihasilkan dari sumber lain.

Sehubungan itu, beliau berharap EU akan memahami bahawa Malaysia komited memelihara alam sekitar dalam usaha mengembangkan perladangan sawit.

"Amalan yang baik dalam sektor pertanian dan memastikan kelestarian sudah menjadi agenda utama perjuangan kita," katanya.

Menurutnya lagi, Sektor Minyak Sawit Mampan Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk

memenuhi permintaan pengguna dari serata UK dan Eropah sebagai alternatif minyak masak yang lebih mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 4:40 PM