ANWAR (gambar fail).  FOTO Arkib NSTP
ANWAR (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Tiga kementerian membentangkan kertas kerja masing-masing dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol) pertama tahun ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, dua kertas kerja dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sementara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) masing-masing melakukan satu perbentangan.

Beliau berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan mempergiatkan Program Pembangunan Pemasaran dengan menyasarkan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di 2,000 lokasi pada tahun ini berbanding 1,000 lokasi pada tahun lalu.

"Usaha FAMA itu antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Naccol ini apabila agensi itu akan memperluaskan Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di 2,000 lokasi pada tahun ini berbanding 1,000 lokasi pada tahun lalu.

"Jualan ini dijangka memberi manfaat kepada semua lapisan pengguna termasuk peniaga kerana harga yang ditawarkan adalah jauh lebih rendah berikutan dibawa terus dari sumber bekalan," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi serta tujuh Menteri Kabinet mewakili tujuh kluster di bawah Naccol.

Selain itu, mesyuarat turut dihadiri wakil daripada agensi kerajaan dan kementerian berkaitan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan serta pakar dari institut penyelidikan.

Anwar berkata, Fama juga akan mengadakan Jualan Khas Ramadan Madani di 268 lokasi seluruh negara yang merangkumi pasar tani, pasar tani kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok.

"Bermula Sabtu ini, Fama akan mengadakan Jualan Khas Syawal Madani di 113 outlet pemasaran Fama.

"Jualan khas ini akan memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan bahan persiapan bagi persediaan Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi," katanya.

Selain itu katanya, dalam memastikan keselamatan pengguna jalan raya berada pada tahap tertinggi agar acara tahunan 'Balik Kampung' tidak dicemari dengan kesedihan dan tangisan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bersama-sama Proton dan Perodua melancarkan Pakej Rahmah bagi servis kenderaan bermotor dengan harga jauh lebih murah.

"Ini adalah usaha Kerajaan Malaysia Madani serta semua pihak terutama pemain pelbagai industri seperti industri peruncitan, makanan dan minuman, tekstil, perhotelan, perkilangan berasaskan makanan dan yang terkini automotif bagi membantu rakyat Malaysia Madani," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, mesyuarat Naccol juga mengambil maklum pembentangan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Persatuan Simen dan Konkrit Malaysia bagi melaksanakan satu lagi inisiatif Rahmah.

"Bagaimanapun pengumuman berkaitan inisiatif Rahmah itu akan dilakukan pada satu tarikh lain kelak," katanya.

Beliau berkata, KPDN pula membentangkan hasil awal projek rintis bagi Program Ekonomi Sempadan (Projek Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi).

Katanya, pelbagai kesan dan impak positif diperoleh daripada projek rintis yang dilaksanakan di Perlis.

"Misalnya, Program Ekonomi Sempadan ini adalah usaha KPDN dalam mengatasi ketirisan minyak petrol dan diesel terutama di kawasan berhampiran sempadan negara.

"Laporan awal menunjukkan subsidi kerajaan dapat diselamatkan kerana penjualan minyak petrol dan diesel ini tidak membabitkan peruntukan subsidi.

"Malah, peluang untuk meningkatkan pendapatan negara juga tinggi melalui cukai jualan yang dikenakan ke atas kenderaan asing," katanya.

Katanya, pada masa sama, KPDN juga merekodkan kes penyelewengan yang rendah di Perlis dalam tempoh projek rintis dilaksanakan setakat ini. Malah, isu trafik sesak di stesen minyak di Perlis juga reda dengan pelaksanaan ini.

"Justeru, KPDN akan mengeluarkan perincian pencapaian projek rintis ini sepanjang dua bulan.

"Projek rintis ini telah dilaksanakan selama dua bulan dan dalam kajian kemungkinan untuk diperluaskan ke negeri lain.

"Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan KPDN sedang memperincikan kaedah subsidi lebih bersasar.

"Satu kertas pembentangan akan diangkat kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada mesyuarat akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 11:42 PM