ANGGOTA Perhilitan sedang memeriksa bangkai buaya tembaga yang ditemui di Jeti Umbai untuk dihantar ke Zoo Melaka. FOTO Ihsan Perhilitan
ANGGOTA Perhilitan sedang memeriksa bangkai buaya tembaga yang ditemui di Jeti Umbai untuk dihantar ke Zoo Melaka. FOTO Ihsan Perhilitan
Nuraliawati Sabri

Jasin: Bangkai buaya tembaga betina sepanjang lebih tiga meter ditemui nelayan, di Jeti Umbai, di sini, hari ini.

Penemuan bangkai reptilia itu kemudian dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Pengarah Perhilitan Melaka Petra Sulai berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bangkai hidupan liar itu kira-kira jam 10 pagi.

Beliau berkata, susulan itu sepasukan anggota Perhilitan kemudian digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.

"Sebaik tiba di lokasi dimaklumkan, kami mendapati terdapat bangkai seekor buaya tembaga berada di jeti berkenaan.

"Daripada pemeriksaan dilakukan mendapati buaya itu dianggarkan sepanjang lebih 3.30 meter dengan berat antara 200 hingga 230 kilogram," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, pihaknya percaya buaya itu dari Sungai Kesang dan menggunakan pesisir pantai terbabit bagi mendapatkan sumber makanan serta mencari pasangan untuk mengawan.

"Kita juga percaya ini kejadian pertama berlaku pada tahun ini selain mengingatkan orang ramai tidak bimbang dengan penemuan bangkai reptilia itu.

"Bangkai buaya ini dihantar Zoo Melaka untuk bedah siasat bagi mendapatkan punca dan berapa lama reptilia itu sudah mati," katanya.

Petra berkata, pihaknya turut meminta kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat sekiranya ada yang ternampak hidupan liar dengan menghubungi Perhilitan di talian 06-2345610 atau 013-4122589.

Terdahulu tular di media sosial, video pendek memaparkan beberapa individu bergambar disisi reptilia itu yang mengundang kebimbangan ramai kerana bimbang jika hidupan liar itu bertindak agresif.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 9:14 PM