PEMEGANG ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan selesa uruskan ladang ternakan seluas lima hektar.
PEMEGANG ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan selesa uruskan ladang ternakan seluas lima hektar.
Oleh Rosman Shamsudin


Slim River: Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan namun lepasan Universiti Pertanian Malaysia (UPM), K Chirstol Paul, 49, tetap memilih bidang penternakan sebagai kerjaya utama dalam kehidupan sejak 23 tahun lalu, dekat sini.

Dia yang lebih dikenali sebagai Bond oleh penduduk setempat memilih kerjaya terbabit berbanding kerja makan gaji kerana falsafah hidup dia yang lebih suka kerja sendiri tanpa kongkongan sesiapa.

Menurutnya, pada peringkat awal penglibatan dalam bidang berkenaan, dia hanya memiliki enam ekor lembu tenusu sahaja yang diambil alih daripada abangnya, David sebagai titik tolak awal permulaannya dalam kerjayanya itu.

Bercerita lanjut, dia berkata, walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam bidang terbabit, tetapi dengan bimbingan dan tunjuk ajar abangnya serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar terutama melalui kursus yang dianjurkan, kini dia muncul menjadi antara penternak berjaya di daerah Muallim.

"Bukannya mudah untuk berjaya dalam bidang penternakan lembu tenusu ini kerana ia memerlukan semangat dan jiwa yang kental kerana penjagaan lembu tenusu lebih rumit daripada lembu biasa.

"Bila kerja sendiri maknanya kitalah bos dan kita juga kuli serta hasilnya pula bergantung kepada kita usaha sendiri menyebabkan saya perlu fokus dalam bidang ini," katanya ketika ditemui, semalam.

Berkat usahanya, dengan keluasan ladang ternakan seluas lima hektar, dia kini mempunyai 100 ekor lembu tenusu baka Fresian Shaiwal yang berasal dari Australia dan New Zealand. Daripada jumlah lembu tenusu itu, hanya 12 ekor lembu tenusu sahaja mampu menyumbang kira-kira 60 liter susu sehari kerana lembu tenusu yang lain belum cukup matang untuk mengeluarkan susu.

Di samping itu, Chirstol juga menternak kira-kira 200 ekor kambing bagi tujuan menghasilkan susu dan dijual kepada orang ramai.

Dia yang juga anak jati Slim River, berkata, setiap hari, bermula jam 6 pagi dia perlu berada di kandang lembu untuk memerah susu sambil dibantu oleh tiga orang pekerja.

"Semua lembu tenusu yang diternak diberi makanan dengan menggunakan rumput jenis Napier yang ditanam sendiri di ladang seluas kira- kira dua hektar.

"Bidang penternakan memang tidak merugikan kerana selain menjual susu maka kita juga boleh menjual lembu atau kambing terbabit, malah najis binatang ini juga mendapat permintaan yang tinggi terutama dalam kalangan petani untuk dijadikan baja tanaman" katanya.

Bond berkata, dia bersedia memberi tunjuk ajar kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang penternakan.

yang setiap hari terpaksa berdepan dengan bau yang kurang menyenangkan tetapi berbaloi jika diusahakan dengan tekun.

Menariknya, walaupun berlainan agama dan bangsa, namun bukan penghalang bagi dia membuat kerja kebajikan di kawasan setempat.

Pada tahun lalu, dia menderma seekor kambing untuk dijadikan hidangan sempena sambutan Aidilfitri di kawasan kejiranan.

Semangat kejiranan yang ditunjukkan boleh dicontohi malah juga sering ringan tulang membantu golongan memerlukan terutama mereka yang dilanda musibah.

Dia berkata, nilai seekor kambing tidak sama dengan semangat perpaduan dan kejiranan penduduk yang terbina sejak perumahan terbabit diduduki kira-kira empat tahun yang lalu.

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh dia hanya untuk memberi kegembiraan kepada penduduk menerusi hasil titik peluh dia sendiri yang menceburi bidang penternakan.

"Apa salahnya dan tidak rugi saya berkongsi rezeki yang Tuhan berikan dengan penduduk yang juga kawasan kejiranan saya sejak empat tahun yang lalu.

"Sebagai anggota kejiranan yang mempunyai pelbagai bangsa dan agama, jangan sesekali jadikan ia sebagai penghalang bagi mewujudkan semangat perpaduan yang terbina sejak sebelum zaman kemerdekaan," katanya.

Sebenarnya, bukan hanya kambing yang dia sumbangkan kepada penduduk setempat kerana sebelum ini apa jua aktiviti kejiranan dia turut serta menghulurkan sumbangan peribadi.

Malah, sikapnya yang mudah mesra dengan orang ramai dan penduduk juga menyebabkan dia amat dikenali dan disegani oleh penduduk setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 7:50 AM