Muhmmad Hariz Nordin, 34, menunjukkan mesin memproses susu kambing UHT miliknya di Kampung Jenang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Muhmmad Hariz Nordin, 34, menunjukkan mesin memproses susu kambing UHT miliknya di Kampung Jenang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: Kira-kira 10 tahun lalu, seorang pemuda dari Kampung Kuala Ibai hanya penternak kambing biasa, namun kini dia memiliki kilang memproses susu kambing bernilai RM3 juta.

Kilang memproses susu kambing jenama KAPRIMA itu beroperasi di Kampung Jenang, di sini, sejak 2019.

Muhammad Hariz Nordin, 35, berkata, dia menternak kambing jamnapari pada 2011 sebelum bertukar kepada penternakan kambing saanen iaitu kambing tenusu dari Australia pada 2014.

"Saya mula menjual susu kambing segar dan sejuk beku secara kecil-kecilan dan selepas permintaan serta jualan susu kambing semakin meningkat, saya melaburkan RM500,000 untuk meluaskan saiz penternakan kambing saanen di Setiu.

"Hasil penternakan dan pengeluaran susu saanen itu, saya menerima Anugerah Penternak Jaya Kebangsaan 2016 dan Anugerah Usahawan Kecil Paling Berjaya 2018," katanya ketika ditemui di kilangnya, hari ini.

Muhammad Hariz berkata, anugerah itu memberi motivasi dan semangat untuk berjaya dalam bidang penternakan dan pengeluaran susu kambing saanen sebelum membeli mesin memproses susu kambing kaedah ultra heat temperature (UHT).

Menurutnya, sebelum ini, susu kambing dikeluarkan secara tradisional tidak bertahan lama dan cepat rosak, tetapi sejak menggunakan kaedah UHT, susu bertahan lebih lama pada suhu bilik seterusnya boleh dipasarkan secara meluas.

"Saya bersyukur apabila bidang penternakan memberikan pulangan lumayan sekarang dan keputusan meninggalkan kerjaya sebagai jurutera dan menolak tawaran sebagai pensyarah di sebuah universiti awam memang tepat.

"Pada peringkat awal, bimbang juga untuk menceburi bidang penternakan itu maklumlah saya langsung tidak mempunyai ilmu dan pengalaman mengenainya.

"Bagaimanapun kerana minat dan bimbingan berterusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, saya berjaya hingga ke tahap sekarang," katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Univesiti Sunderland, England.

Menurutnya, dia bukan sahaja memproses susu kambing dari kandang kambing saanen sendiri, malah turut membantu penternak lain dengan memborong susu kambing segar dikeluarkan mereka.

Katanya, sehingga kini seramai 20 penternak kambing saanen di sekitar daerah itu membekalkan susu kambing ke kilangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 January 2022 @ 1:25 PM