Nazdy Harun


Setiu: Kerajaan negeri memperuntukkan RM1.8 juta menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 bagi melaksanakan projek rintis penternakan kambing tenusu di Ladang Induk Pengganda Kambing Tenusu, di sini.

Ia sebagai anjakan transformasi pertanian negeri bagi merealisasikan hasrat menjadi salah satu pengeluar makanan utama dan menyumbang kepada usaha kerajaan dalam memastikan jaminan keselamatan bekalan makanan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan Terengganu memberi komitmen tinggi dalam usaha pembangunan ekonomi terutama sektor pertanian.

Menurutnya, negeri ini belum mempunyai pengeluaran induk baka kambing tenusu yang mendapat pensijilan dan berdaftar dalam sistem e-baka.

"Sehingga 2020, sebanyak 3,259 ekor induk kambing tenusu diternak oleh 90 penternak berskala kecil dan sederhana.

"Sehari sebanyak 500 liter susu mampu dikeluarkan di seluruh negeri dan Terengganu kini mempunyai kilang pemprosesan susu UHT berfokus kepada susu kambing yang pertama di Malaysia dengan kapasiti 500 liter sejam di Kampung Jenang, Marang.

"Sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan kepada Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) bagi melaksanakan program berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Ladang Induk Pengganda Kambing Tenusu di Ladang Informasi Veterinar, Kampung Bari, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu Dr Anum Man.

Menurutnya, projek ladang induk ini diusahakan di atas tanah seluas 20.23 hektar milik JPV Terengganu dengan objektif antaranya menjamin bekalan induk kambing tenusu berkualiti, bebas penyakit dan mendapat pensijilan.

Katanya, projek berkenaan juga memberi peluang kepada golongan muda yang berminat dalam penternakan kambing tenusu bagi tujuan penghasilan susu, baka dan daging.

"Seramai enam usahawan dipilih sebagai perintis pembangunan usahawan kambing tenusu yang akan dilatih selama dua tahun dan peserta akan menerima elaun sebanyak RM1,200 sebulan.

"Selepas tamat latihan, setiap peserta akan menerima lima hingga enam ekor kambing termasuk 20 peratus hasil penjualan susu untuk mereka dijadikan modal permulaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 4:07 PM
Dr Azman melihat kambing yang diternak di Ladang Informasi Veterinar, Kampung Bari. FOTO NAZDY HARUN
Dr Azman melihat kambing yang diternak di Ladang Informasi Veterinar, Kampung Bari. FOTO NAZDY HARUN