AFIF Syahmi memerah susu lembu menggunakan kaedah tradisional. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
AFIF Syahmi memerah susu lembu menggunakan kaedah tradisional. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Hulu Terengganu: Seorang remaja memanfaatkan masa terluang dengan membantu bapanya memerah susu lembu di kandang lembu tenusu milik keluarganya di Kampung Pengkalan Ajal, Ajil, di sini.

Afif Syahmi Mohd Rosli, 13, berkata, dia akan ke kandang lembu tenusu selepas selesai mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

"Saya membantu ayah di kandang lembu tenusu itu sejak berusia 11 tahun dan sangat meminati aktiviti menguruskan ternakan.

"Kami mempunyai 10 lembu tenusu dan tiga daripadanya sedang aktif mengeluarkan susu dan biasanya mengambil masa lebih dua jam menguruskan kandang lembu tenusu itu.

"Sebelum memerah susu lembu, saya akan membersihkan kandang terlebih dahulu dan selain menggunakan kaedah tradisional, susu lembu diperah menggunakan mesin khas yang lebih menjimatkan masa," katanya.

Menurutnya, susu lembu siap diperah dikumpul dan diletakkan di dalam peti sejuk beku sebelum dijual dengan harga RM7 sekilogram dan biasanya terjual sebanyak 20 kilogram sehari.

Katanya, kerja menternak lembu tenusu mampu memberi hasil lumayan dan cepat berbanding menternak lembu pedaging dan dia bercita-cita untuk menjadi penternak berjaya dan mengembangkan kegiatan penternakan lembu tenusu diusahakan bapa sejak 2018.

Sementara itu bapanya, Mohd Rosli Mejah, 53, berkata, dia bertuah kerana memiliki anak yang meminati bidang penternakan itu.

"Saya tidak pernah memaksa Syahmi untuk membantu saya di kandang itu. Semua kegiatan di kandang itu dijalankan kerana minatnya sendiri.

"Sekurang-kurangnya apabila Syahmi membantu, ia meringankan sedikit kerja-kerja saya di kandang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 7:28 PM