SEBAHAGIAN masyarakat Orang Asli Pos Simpor membuat sekatan di Kampung Cawas sebagai bantahan terhadap aktiviti pembalakan. FOTO Ihsan Jaringan
SEBAHAGIAN masyarakat Orang Asli Pos Simpor membuat sekatan di Kampung Cawas sebagai bantahan terhadap aktiviti pembalakan. FOTO Ihsan Jaringan
Sharifah Mahsinah Abdullah


MASYARAKAT Orang Asli membina sekatan baru di tiga lokasi kawasan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan di Gua Musang, semalam.

Sekatan yang dibina di Cawas, Gua Cha and Pos Gob adalah yang pertama pada tahun ini sebagai bantahan terhadap aktiviti pembalakan, projek perladangan dan projek penanaman durian Musang King di daerah itu.

Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (Jaringan) Mustapa Along berkata, sekatan itu dibuat sebagai bantahan kepada kerajaan negeri kerana didakwa banyak mengeluarkan lesen pembalakan terutama di Cawas sejak kebelakangan ini.

Katanya, lebih 800 Orang Asli terbabit dalam bantahan itu dan mereka dari beberapa penempatan termasuk Pasik, Kuala Bering dan Pos Tohoi.

"Sekatan yang dilakukan di Cawas adalah tetap, manakala dua sekatan lagi berbentuk sementara sehingga kami mendapat lokasi yang sesuai.

"Kami mendirikan sekatan itu mempunyai sebab. Memang tak salah jika kerajaan negeri keluarkan banyak lesen balak tetapi mereka perlu fikir masa depan dan kesan aktiviti itu kepada masyarakat Orang Asli di Gua Musang.

"Aktiviti pembalakan, projek perladangan dan juga penanaman durian Musang King itu meliputi sembilan lokasi didiami lebih dari 3,000 masyarakat Orang Asli," katanya.

Katanya, pihaknya meminta kerajaan negeri dan agensi berkaitan dapat menghentikan aktiviti hutan yang melampau sekali gus memikirkan kesan terhadap ekosistem hutan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Datuk Zahari Ibrahim berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai sekatan baru dan mengarahkan kakitangan untuk memantau situasi berkenaan.

Isu sekatan oleh Orang Asli bermula sejak beberapa tahun lalu dan kemuncaknya pada 2016 di mana enam sekatan dibina di Hutan Simpan Balah di Gua Musang.

Berikutan itu, Jabatan Perhutanan Kelantan mengambil tindakan merobohkan sekatan itu, selain menahan Orang Asli yang terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 7:41 PM