POLIS Israel menceroboh kawasan Masjid al-Aqsa. FOTO Reuters
POLIS Israel menceroboh kawasan Masjid al-Aqsa. FOTO Reuters
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Rakyat Palestin sudah menjangkakan berlaku ketegangan setiap kali Ramadan dengan pihak Israel menyebabkan mereka bersedia dari segi mental dan fizikal menghadapinya.

Penceramah bebas, Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin yang terkenal dalam misi kemanusiaan Masjid al-Aqsa dan isu Palestin berkata, serangan terbaru oleh polis Israel ke atas puluhan umat Islam di perkarangan Masjid al-Aqsa sebelum Subuh semalam, sudah dijangka.

Menurutnya, penduduk Palestin sudah membuat persiapan sejak Rejab lagi dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi peperangan mempertahankan diri dan menyelamatkan kanak-kanak serta wanita.

"Ketegangan Palestin ini kemuncaknya akan berlaku di Masjid al-Aqsa kerana ia simbol bagi orang Islam Palestin dan umat Islam keseluruhannya berbanding serangan di Gaza yang lebih berbentuk setempat.

"Serangan di Masjid al-Aqsa sebenarnya isyarat ketegangan itu akan lebih meluas di seluruh Palestin," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Amin berkata, beliau baru pulang dari Masjid al-Aqsa semalam sementara rombongan yang dibawanya pulang lebih awal.

"Rakyatnya sudah faham, mereka perlu bersedia sebab itu di dalam masjid pun mereka boleh mempertahankan diri dan tidak mudah pihak Israel untuk mendapat kemenangan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, pihaknya melahirkan rasa marah dan kecewa dengan sikap Israel dan sekutunya kerana bertindak kasar dengan penduduk Palestin yang berada di kawasan Masjid al-Aqsa.

"Keadaan itu juga menyebabkan keadaan huru-hara dan kerosakan kepada fasiliti umat Islam berkenaan.

"Sejak dua malam yang lalu, tentera Zionis memulakan operasi mengosongkan Majid al-Aqsa di luar waktu solat. Seperti sedia maklum, jemaah Palestin akan beriktikaf, membaca al-Quran dan melakukan amalan sunat sepanjang bulan Ramadan ini," katanya.

Mohd Hakim berkata, hal ini tercetus kerana puak Zionis membantu penganut Yahudi untuk melakukan persiapan menyambut ketibaan perayaan Yahudi yang dinamakan Pesach (Passover) yang bermula 5 hingga 13 April ini atau dari 14 hingga 22 Ramadan.

"Serantau Muslim difahamkan puak ekstremis Zionis Yahudi merancang untuk menceroboh masuk ke Masjid al-Aqsa sepanjang seminggu ini.

"Pada Ramadan tahun lalu, mereka turut mengadakan ketegangan seperti ini supaya masjid dapat dikosongkan kerana ganjaran bakal menanti mereka. Mereka akan diberi ganjaran lumayan jika berjaya membawa haiwan untuk disembelih di dalam masjid berkenaan," katanya,

Justeru katanya, Serantau Muslim menyeru semua negara Islam bersama-sama menggembleng tenaga untuk menyatakan soladiriti mempertahankan Masjid al-Aqsa dan umat Islam di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 12:51 PM