Amir Abd Hamid Melaporkan dari Baitulmaqdis Palestin


LAUNGAN takbir di dalam bas oleh rombongan kami sebaik memasuki di satu terowong membuatkan hati berasa sayu dan berdebar.

Ini kerana selepas terowong itu Pengasas dan Pengerusi Yayasan Al Amin Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin yang mengetuai rombongan berkata, rombongan kami akan melihat Masjid Al-Aqsa.

Beliau lebih mesra dipanggil Ustaz Amin menjelaskan, khalifah Islam kedua Saidina Umar Al-Khatab dan 4,000 sahabat bertakbir sebaik memandang kawasan Baitulmaqdis yang kemudian dapat dikuasai Islam selepas memenangi peperangan dengan tentera Rom pada 636 Masihi.

“Saya sangat bersyukur dapat beribadah di masjid ketiga suci selepas Masjidilharam dan Masjid Nabawi ini dan berpeluang menunaikan solat fardu diimamkan Imam Utama Masjid Al-Aqsa Sheikh Yusuf Abu Sneinah.

“Dugaan kecil saya terima bagaikan tidak terasa apabila diizinkan Allah berada di sini.

“Antara dugaan kecil itu ialah pasport saya dan bekas Ketua Polis Negara yang juga Pengerusi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Tan Sri Ismail Omar menjadi pasport terakhir dilepaskan pihak Israel selepas pemeriksaan selama sejam setengah.

“Kejadian itu berlaku di pintu masuk sempadan Jordan-Israel selepas Jambatan Raja Hussein. Antara soalan ditanya di kaunter imigresen Israel itu termasuk nama saya dan nama datuk sebelah ayah saya sebelum disuruh duduk sebentar.

Dalam satu kejadian sebelum masuk ke Kompleks Masjid Al-Aqsa pula, ketika saya bersama Ustaz Amin, saya ditahan oleh polis Israel di pintu masuk utama pintu Huttah.

"Apa nama awak? Muslim? Baca al-Fatihah...," soalan itu diajukan polis Israel berkenaan sebelum saya dibenarkan masuk.

Natijahnya, apa yang mahu saya sampaikan kepada pembaca ialah rejim Zionis akan cuba pelbagai cara untuk menjauhkan Masjid Al-Aqsa daripada diziarahi umat Islam.

Masjid Al-Aqsa memerlukan seluruh umat Islam dunia supaya ia terus imarah walau apa pun berlaku.

Usah gentar atau termakan cakap-cakap yang boleh membatalkan niat kita untuk beribadah di tanah yang diberkati Allah ini.

Selepas solat Subuh tadi, Sheikh Yusuf sempat menasihatkan rombongan kami terdiri 34 orang termasuk Ustaz Amin antaranya:

"Masjid Al-Aqsa bukan semata-mata untuk orang Palestin tetapi untuk orang Islam seluruhnya. Beritahu kepada rakan yang lain datanglah ke Masjid Al-Aqsa

"Kedatangan saudara Islam termasuk dari Malaysia memberi kekuatan kepada Palestin.

"Banyak kisah sejarah anbia dan akhir zaman berlaku di bumi Aqsa. Saya berdoa semoga pertemuan ini akan dikumpulkan juga di syurga.

"Minta tolong doakan pembebasan Masjid Al-Aqsa daripada cengkaman Yahudi Zionis," katanya.

Gandaan pahala bersolat di Masjid Al-Aqsa adalah bersamaan 500 kali ganda berbanding di masjid lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 6:38 PM
Antara lokasi penting yang diziarahi peserta di Kompleks Al-Aqsa ialah Kubas Emas atau ‘Dome of Rock’ selain berada di dalam ruang solat utama Masjid Al-Aqsa. FOTO Amir Abd Hamid
Antara lokasi penting yang diziarahi peserta di Kompleks Al-Aqsa ialah Kubas Emas atau ‘Dome of Rock’ selain berada di dalam ruang solat utama Masjid Al-Aqsa. FOTO Amir Abd Hamid