Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Penghantar dokumen sambilan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri dalam kemalangan di Jalan Saujana Impian, Ahad lalu.

Tertuduh, S Lokganathen, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Syahrul Sazli Md Sain di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan dengan melulu sehingga menyebabkan kematian terhadap pemandu kereta, Remyzan Baharudin, 42, dan penumpang hadapan, Suzyla Ahmad Dahlan, 40.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Saujana Impian, di sini, pada 7 Mac lalu jam 4 petang.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan) 2020 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 dan hilang kelayakan lesen memandu lima tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman menawarkan jaminan RM15,000 terhadap tertuduh.

Namun, tertuduh yang diwakili peguam, S Malini Devi memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh adalah pencari nafkah utama keluarga.

Malini dalam hujahnya meminta jumlah jaminan tertuduh dikurangkan memandangkan dia sudah berkahwin dan menanggung ibu kandung serta ibu mentuanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 13 April nanti sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan sepasang suami isteri maut selepas Perodua Bezza dinaiki bersama dua anak mereka dirempuh sebuah van yang hilang kawalan di Jalan Saujana Impian, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dilaporkan berkata, kejadian berlaku jam 4 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke arah Semenyih.

Menurutnya, sebuah van yang datang dari arah bertentangan hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 1:26 PM
PEMANDU van dihadapkan ke mahkamah selepas kecuaian memandu yang menyebabkan kematian sepasang suami isteri di Jalan Saujana Impian. FOTO Aizuddin Saad
PEMANDU van dihadapkan ke mahkamah selepas kecuaian memandu yang menyebabkan kematian sepasang suami isteri di Jalan Saujana Impian. FOTO Aizuddin Saad