Gambar hiasan
Gambar hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Dua individu kerugian lebih RM200,000 selepas ditipu scammer menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis dan ejen insurans.

Mangsa lelaki, pesara swasta berusia 60-an kerugian RM109,750, manakala seorang lagi membabitkan suri rumah berusia 50-an kerugian RM120,400.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bagi kes pesara swasta, ketika mangsa berada di rumah di Bukit Bunga, Jeli, lelaki itu dihubungi oleh seorang wanita mendakwa dari Balai Polis Ampang, Selangor.

Katanya, mangsa dimaklumkan terbabit jenayah penggubahan wang haram dan bagi siasatan, mangsa mendedahkan semua butiran akaun banknya kepada suspek.

"Mangsa kemudian diarahkan supaya memasukkan wang ke dalam akaun banknya sebagai ikat jamin sendiri dan diminta supaya tidak membuat semakan ke atas akaun sepanjang siasatan.

"Pada 30 Mac lalu, mangsa pergi ke bank dan mendapati wang dalam akaun hanya tinggal RM100 sahaja dan mengesyaki ditipu dengan nilai kerugian RM109,750.

"Mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Bunga pada 2 April lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Muhamad Zaki berkata, bagi kes suri rumah, ketika berada di rumahnya di Pasir Mas pada 22 Februari lalu, mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita menyamar sebagai ejen insurans dan mendakwa dia membuat tuntutan palsu di Hospital Ampang Puteri, sebanyak RM68,800.

Beliau berkata, mangsa menafikan perkara itu sebelum talian disambung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang dan bercakap dengan seorang Sarjan serta Inspektor.

"Mangsa juga disambungkan talian kepada seorang peguam wanita yang menyuruh mangsa membuka akaun bank baharu dan mendaftarkan nombor telefon milik suspek atas akaun itu.

"Mangsa membuat pindahan ke dalam akaun baharu iaitu wang yang dipinjam sebanyak RM60,000 dan simpanan RM70,000.

Pada 31 Mac, mangsa menceritakan kepada anaknya sebelum membuat semakan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mendapati hanya tinggal RM490," katanya.

Muhamad Zaki berkata, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 9:20 AM