PEGAWAI kastam memeriksa rokok seludup di sebuah kedai runcit di Kulaijaya.
PEGAWAI kastam memeriksa rokok seludup di sebuah kedai runcit di Kulaijaya.

Kuala Lumpur: Penyelidikan terkini Nielsen dalam Kajian Rokok Seludup (ICS) untuk tempoh Jun hingga Ogos tahun ini menunjukkan penurunan terbesar dalam tempoh dua dekad iaitu 32.3 peratus berbanding rekod tertinggi 38.9 peratus pada akhir 2013.

Berbanding keputusan kajian terdahulu, dapatan terbaru itu menunjukkan penggunaan rokok haram di negara ini sedang dalam trend menurun iaitu 3.5 mata peratusan daripada 35.8 peratus.

“Kes penyeludupan rokok meluas di Malaysia. Ia masalah yang sukar diselesaikan. Justeru, keputusan kajian ini boleh dianggap luar biasa dan pujian wajar diberikan kepada Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yang tabah dan tanpa penat lelah menjalankan penguatkuasaan.

“Usaha keras KDRM membanteras insiden ini juga sekali gus mengurangkan jenayah berkaitan perdagangan haram selain dapat memperoleh kembali sumber kewangan kerajaan yang hilang akibat penyeludupan rokok,” kata Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (GPTM) dalam kenyataan, semalam .

Menurutnya, pada Mac dan Ogos lalu, KDRM sudah melancarkan kempen bagi mematahkan rangkaian penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok seludup di Malaysia termasuk Ops Outlet dan Ops Pacak.

Katanya, kedua-dua kempen berkenaan tertumpu kepada mengganggu rantaian bekalan rokok seludup dengan mensasarkan usaha penguatkuasaan ke atas peruncit dan pemborong.

“Selain penguatkuasaan, KDRM juga berkempen untuk menimbulkan kesedaran di peringkat runcit menggunakan medium poster serta risalah antirokok seludup.

“Lebih 1,000 pesalah sudah ditangkap serta ditahan untuk siasatan dan ramai daripadanya didakwa di mahkamah dengan hukuman lebih berat seperti penjara,” katanya.

Lebih membanggakan, usaha KDRM disokong persatuan peruncit termasuk Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura, Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia, Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia dan Persekutuan Persatuan Saudagar-Saudagar Runcit Malaysia yang menggesa ahli supaya tidak menjual rokok seludup.

“Kami memuji KDRM atas usaha mereka yang berterusan sehingga menghasilkan keputusan baik. Penguatkuasaan berterusan dan dipergiatkan selain hukuman berat dikenakan mahkamah kepada pesalah membantu menurunkan insiden rokok seludup.

“Namun, menurut kajian walaupun insiden rokok seludup mencatatkan penurunan tetapi jenama tertentu rokok seludup seperti John masih kekal menguasai rekod tertinggi iaitu 6.1 peratus diikuti Gudang Garam, U2, Canyon, dan Era yang terus berleluasa dijual di pasaran.

“Rokok seludup dijual antara RM3 dan RM5 satu pek, jauh di bawah harga minimum RM7 yang ditetapkan kerajaan.

“Senarionya, insiden rokok seludup masih berada di tahap yang tinggi di negara ini. Bagaimanapun hasil penguatkuasaan dan usaha dilakukan KDRM adalah cara berkesan untuk menurunkan insiden penyeludupan rokok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 November 2014 @ 7:12 AM