GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Skuad Khas Harian Metro


KUALA LUMPUR: Peniaga runcit yang menjual rokok seludup kini bagaikan cacing kepanasan selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menguatkuasakan Akta Kastam 1967 (pindaan) berkuat kuasa awal bulan ini.

Mengikut pindaan itu, jika seseorang itu memiliki satu karton rokok seludup saja boleh menyebabkan pelaku didenda RM100,000 atau penjara minimum enam bulan hingga lima tahun.

Kes dua individu iaitu pemilik dan pekerja kedai runcit didenda masing-masing sebanyak RM100,000 oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan kelmarin kerana memiliki rokok seludup bernilai RM152 adalah kes pertama dikenakan denda tinggi mengikut pindaan Akta Kastam 1967.

Sehingga kini, JKDM menjangkakan sebanyak 50 kes berkaitan tangkapan menjual minuman keras dan rokok seludup akan didakwa di Mahkamah Majistret bulan ini.

ROSDI SAMSI
ROSDI SAMSI

Mengulas kes berkenaan, peniaga runcit di Setapak di sini, Rosdi Samsi, 46, yang sudah berniaga sejak 10 tahun lalu berkata, tidak berbaloi urus niaga rokok seludup dengan risiko perlu dihadapi peniaga.

“Jangan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan rokok atau arak. Dendanya tinggi, tidak berbaloi jika ditahan. Denda antara RM500,000 hingga RM1 juta amat tidak berbaloi jika ditahan. (Rakan peniaga) Elakkanlah daripada terbabit dengan sindiket,” katanya ketika ditemui.

SYAFIQ MUHAMMAD
SYAFIQ MUHAMMAD

Syafiq Muhammad, 38, pemilik kedai runcit di Jalan Kemuja, Bangsar pula berkata, denda setinggi itu amat menggerunkan peniaga untuk menjual rokok seludup.

“Siapa yang buat demikian (jual rokok seludup) memang mahu cari nahas. Memang tidak berbaloi, janganlah cuba-cuba melakukannya walaupun secara tersembunyi,” katanya.

MOHD RAMZAN MOHD AMIN
MOHD RAMZAN MOHD AMIN

Bagi Mohd Ramzan Mohd Amin, 35, pemilik kedai runcit di PPR Semarak pula menyifatkan peruntukkan undang-undang itu berkesan bagi membanteras kegiatan penyeludupan rokok seludup.

“Peniaga kecil jika kena tahan, denda sebanyak itu pasti menyusahkan. Peniaga tidak berani rasanya untuk jual,” katanya.

ROSLI JAILANI
ROSLI JAILANI

Peniaga lain, Rosli Jailani, 44, berkata, rokok seludup memang menjejaskan pendapatan negara dan dia yakin jika cukai dikurangkan ia dapat menghentikan kegiatan itu.

“Harga rokok sah terlalu mahal menyebabkan perokok beralih kepada rokok seludup,” katanya yang sudah 15 tahun berniaga di kawasan berkenaan.

Katanya, kerajaan perlu mewujudkan polisi menang-menang dalam membanteras sepenuhnya kegiatan haram itu.

“Saya yakin, perokok akan memilih rokok sah jika harganya lebih murah. Faktor harga rokok sah dalam pasaran di Malaysia punca utama kepada penyeludupan rokok seludup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 8:24 AM