Oleh Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan penetapan tarikh 1 Syawal didakwa pada 21 April ini dikeluarkan oleh pihaknya seperti yang tular di media sosial.

Dalam hantaran di Facebooknya, Jakim berkata, semua pihak dinasihatkan supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja.

Sebelum ini, media melaporkan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang andaian berhubung tarikh 1 Syawal kerana tarikh sebenar hanya diketahui selepas cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi di seluruh negara.

Jakim dilaporkan berkata, isu penetapan tarikh 1 Syawal itu tular susulan penularan sekeping gambar dipercayai diambil dari skrin jam digital di sebuah masjid yang memaparkan 'Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444 H 20 April 2023'.

Pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan setelah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu.

Cerapan Hilal Syawal tahun ini akan dijalankan pada petang 20 April depan bersamaan dengan 29 Ramadan.

PEJABAT JAKIM.
PEJABAT JAKIM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 3:43 PM