CERAPAN anak bulan. FOTO Bernama.
CERAPAN anak bulan. FOTO Bernama.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menasihatkan seluruh umat Islam khususnya di Selangor supaya menghormati semua proses yang ditetapkan serta menyerahkan tanggungjawab menentukan permulaan 1 Syawal 1444 Hijrah kepada pihak berkuasa.

Menerusi kenyataan rasmi Selangor Royal Office hari ini, baginda menyeru agar umat Islam agar kekal tenang dan tertib berhubung perkara itu.

Baginda menyeru agar rakyat tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan sementara menunggu pengisytiharan rasmi tarikh Hari Raya Puasa oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang ditetapkan pada Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April.

"Baginda mengingatkan umat Islam di negara ini bahawasanya Majlis Raja-Raja mempersetujui cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

"Baginda juga menitahkan Mufti Selangor untuk memberi penjelasan mengenai kaedah penentuan awal Ramadan dan awal Syawal, sebagaimana nas al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW iaitu berdasarkan ru'yah hilal atau melihat anak bulan.

"Susulan titah Sultan Selangor itu juga, Jabatan Mufti Selangor sudah mengeluarkan kenyataan media bertarikh 7 April bertajuk 'Prinsip Asas Dalam Penentuan Tarikh Hari Raya di Malaysia'," demikian kenyataan itu.

Terdahulu media melaporkan tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Khamis, 20 April bersamaan 29 Ramadan 1444 Hijrah di 29 lokasi terpilih di seluruh negara.

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Raja-raja Melayu.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 4:55 PM