ARTIS beri pandangan berkaitan isu harga makanan di bazar Ramadan.
ARTIS beri pandangan berkaitan isu harga makanan di bazar Ramadan.
Ridzuan Abdul Rahman


Kedatangan Ramadan bagaikan tidak lengkap dan meriah tanpa adanya bazar Ramadan.

Kewujudan bazar Ramadan ini diibaratkan cendawan tumbuh selepas hujan.

Ia menjadi medan untuk mereka yang berminat menjadi usahawan menceburi bidang perniagaan selain dapat mencari duit poket untuk kegunaan ketika Aidilfitri.

Dari segi positif, bazar Ramadan dapat memberi pilihan kepada pembeli kerana menyediakan pelbagai menu.

Golongan yang bekerja tidak perlu berkejar-kejar pulang ke rumah untuk memasak bagi juadah berbuka kerana segala-galanya terdapat di sini.

Bagaimanapun, yang negatifnya, timbul rungutan dalam kalangan pembeli kerana harga makanan yang mahal selain rasa yang kurang sedap.

Seperkara lagi, peniaga juga dikatakan mengabaikan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan kepada pelanggan. Dakwaan ini sememangnya tidak asing lagi setiap kali tibanya Ramadan.

Artis kita juga tidak berkecuali merasai pengalaman ini. Jom dengar komen mereka berkenaan isu semusim ini.

LINDA HASHIM

“Kos sara hidup sekarang agak tinggi dan kalau kita pergi pasar pun, nilai RM50 hanya dapat membeli beberapa barangan sahaja. Jadi nak tak nak peniaga terpaksa menaikkan harga barangan jualan kerana mereka nak cari untung.

“Lagipun keuntungan yang diperoleh mereka bukanlah banyak sangat. Dari segi kesedapan masakan pula, tak dinafikan ada peniaga buat yang sedap dan ada yang tidak.

“Kadang-kadang saya kasihan dengan peniaga di bazar Ramadan yang tiada pembeli dan akhirnya saya beli di gerainya. Kalau sekiranya makanan yang dijual itu tak sedap, saya akan menegurnya secara baik agar dia faham.

“Kalau makanan yang dijual mahal itu sedap, saya rasa ia bukanlah satu masalah sangat,” katanya.

IRMA HASMIE

“Bagi saya harga makanan di bazar Ramadan memang mahal dan perlukan pemantauan pihak berkuasa. Ini kerana pada Ramadan ini ramai yang asalnya bukan peniaga mengambil peluang berniaga. Jadi mungkin mereka tiada panduan untuk tetapkan harga jualan.

“Peniaga pula perlu berniaga dengan ikhlas. Apatah lagi sempena Ramadan peniaga kena ambil berat konsep barakah itu sendiri dan tidak fokus pada keuntungan semata-mata.

“Mengenai isu kesedapan makanan pula, peniaga perlu hasilkan yang terbaik. Kalau nak berikan hadiah pun, Nabi saran berilah sesuatu yang baik, inikan pula berniaga, kenalah sediakan jualan yang berkualiti.

“Pada saya, peniaga mesti perbetulkan niat dan ikhlas berniaga, Insya-Allah lebih berkat dan bahagia di bulan kegembiraan bulan Ramadan ini.”

EZAD LAZIM

“Kos sara hidup sekarang agak tinggi dan ini faktor peniaga jadikan itu sebagai alasan dalam meletakkan harga. Mungkin juga ada peniaga yang meletakkan harga tinggi dan ia jadi ikutan pada yang lain.

“Berkenaan kesedapan masakan yang dijual, ia adalah subjektif. Kita semua punya pilihan untuk membeli makanan yang kita rasa sedap atau tidak.

“Kalau kita suka dengan rasa makanan itu sudah pasti kita akan membelinya lagi. Sekiranya kurang sedap, cukuplah kita hanya membelinya sekali.”

ALMY NADIA

“Memang agak kecewa apabila makanan yang dibeli tak sedap. Saya tak kisah beli dengan harga mahal kalau rasanya sedap.

“Harapnya peniaga ini berniaga dengan ikhlas, baru pelanggan tak merungut nak membeli.

“Seperkara lagi, mereka juga kenalah jaga kebersihan. Saya pernah berdepan dengan peniaga yang abaikan aspek kebersihan sediakan makanan tanpa menggunakan sarung tangan.

“Memang geli dibuatnya, tapi kerana sudah order, saya terpaksalah beli. Tapi saya tak duduk diam kerana menegur peniaga itu supaya pentingkan kebersihan agar pelanggan puas hati.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 5:02 AM