Zaid Salim

Kuala Terengganu: Menghormati kesucian Ramadan selain penat berpuasa menyebabkan kumpulan doktor kontrak yang bertugas di fasiliti kesihatan di negeri ini tidak melakukan mogok yang dilaksanakan di seluruh negara bermula semalam.

Justeru, perkhidmatan kesihatan awam di semua enam hospital dan klinik kesihatan di Terengganu berjalan lancar seperti biasa.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kebanyakan mereka (doktor kontrak) hadir bekerja seperti biasa dan berharap situasi itu berterusan sehingga esok (hari akhir).

"Mogok doktor Malaysia selama tiga hari bermula semalam hingga esok diadakan serentak di seluruh negara kerana mendakwa kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

"Setakat ini (hari kedua mogok) di negeri Terengganu sama macam semalam...tiada doktor kontrak yang melakukan mogok di hospital atau klinik dan perkhidmatan kesihatan berjalan dengan lancar setakat ini," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Tiada mogok doktor kontrak di Terengganu. Tinjauan NSTP di Komplek Rawatan Harian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapati operasi perkhidmatan kesihatan berjalan lancar seperti biasa. FOTO ZAID SALIM
Tiada mogok doktor kontrak di Terengganu. Tinjauan NSTP di Komplek Rawatan Harian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapati operasi perkhidmatan kesihatan berjalan lancar seperti biasa. FOTO ZAID SALIM

Demi perkhidmatan untuk masyarakat, mereka (doktor kontrak) juga dikatakan tidak mengambil cuti sakit atau sebagainya untuk tujuan itu (mogok).

Beliau berkata, pihaknya yakin dan percaya kumpulan doktor berkenaan yang bertugas di Terengganu sangat profesional selain menghormati kesucian Ramadan apabila tidak menyertai kempen berkenaan.

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan cepat supaya mereka mendapat tempat dalam perkhidmatan.

"Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan segera kerana doktor kontrak yang ada di Terengganu ini adalah doktor-doktor yang terbaik.

"Saya berterima kasih kepada doktor kontrak kerana tidak membabitkan diri untuk mogok dan terus menawarkan khidmat yang terbaik untuk semua pesakit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 3:05 PM