Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) melakukan Program Pemutihan Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara Tanpa Kebenaran selama tiga bulan bermula hari ini.

Pengarahnya, Datuk Che Abdul Rahim Jusoh berkata, menerusi program berkenaan, pasangan yang berkahwin di luar peraturan iaitu tanpa kebenaran dan berlawanan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Kelantan 2002 sebelum 2005 diminta tampil untuk mendaftarkan perkahwinan mereka.

Katanya, ia berikutan sehingga kini masih terdapat pasangan suami isteri di Kelantan yang belum mendaftarkan perkahwinan mereka mungkin disebabkan tidak mengetahui prosedur atau tidak mampu untuk membayar denda yang dikenakan Mahkamah Syariah.

"Kita mahu mereka tampil di pejabat agama bagi membolehkan perkahwinan mereka disahkan oleh mahkamah dari segi undang-undang dan hukum syarak.

"Bagi pasangan yang berkahwin mengikut syarak kita akan permudahkan dan bagi pasangan yang kita dapati khuatir dari segi kesahihan, kita akan angkat kepada mahkamah untuk pengesahan.

"Sekiranya ada denda, kita akan melalui Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) dan hanya denda minimum dikenakan. Apa yang penting kita mahu memastikan perkahwinan pasangan itu menepati kehendak hukum syarak," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Che Abdul Rahim berkata, untuk program berkenaan keutamaan adalah pasangan yang berkahwin sebelum 2005.

"Namun sekiranya mereka yang berkahwin selepas 2005 dan mahu membuat pendaftaran, kita akan pertimbangkan atas sebab yang munasabah.

"Perkara ini perlu diberi perhatian kerana perkahwinan yang tidak didaftarkan akan menimbulkan masalah dari sudut penentuan keturunan, kesukaran memohon sijil kelahiran, menyukarkan pendidikan anak-anak selain masalah dalam membuat tuntutan berkaitan harta dan sebagainya," katanya.

Che Mohd Rahim Che Jusoh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Che Mohd Rahim Che Jusoh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 2:30 PM