ORANG awam berurusan di kaunter AKPK di pejabat APPK, Menara Bumiputra Commerce. FOTO Eizairi Shamsudin.
ORANG awam berurusan di kaunter AKPK di pejabat APPK, Menara Bumiputra Commerce. FOTO Eizairi Shamsudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Agensi Kaunselling dan Pengurusan Kredit (AKPK) sedang bertindak balas terhadap pencerobohan ke atas sistem teknologi maklumat agensi berkenaan oleh penjenayah siber.

AKPK dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pelayan agensi itu yang mengandungi data mungkin sudah diakses secara haram.

"AKPK memberi keutamaan bagi menangani situasi ini dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan berterusan.

"Susulan pencerobohan ini, AKPK sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa, mengambil langkah melindungi pelayan kami dan memulakan penyiasatan bersama pakar keselamatan siber," katanya.

Menurutnya, AKPK sudah menerima dan menolak permintaan tebusan yang juga tindakan dipersetujui oleh pihak berkuasa berkaitan serta pakar.

"Akibat pencerobohan itu, kami memutuskan untuk menyahaktifkan beberapa sistem operasi kami buat sementara waktu untuk mencegah risiko selanjutnya.

"Kami akan mengembalikan operasi sistem secara beransur-ansur sebaik sahaja selamat untuk berbuat demikian.

"Pada masa ini, kami sudah melaksanakan pengaturan operasi yang sesuai supaya pelanggan masih boleh mendapatkan perkhidmatan daripada kami selancar mungkin," katanya yang memohon maaf terhadap kejadian itu.

Katanya, sejak 2006, AKPK komited untuk berkhidmat kepada pelanggan dan orang awam dengan menawarkan perkhidmatan percuma dalam memperkasakan rakyat Malaysia bagi meningkatkan daya tahan kewangan mereka.

"Kami akan terus berusaha untuk mengurangkan kesan pencerobohan ini demi melindungi data pelanggan.

"Sokongan dan timbang rasa pelanggan dalam tempoh yang sukar ini sangat kami sanjungi dan akan terus mengatasi cabaran ini bagi memberi perkhidmatan kepada pelanggan.

"Pelanggan AKPK yang mahu menghubungi kami boleh berbuat demikian menerusi pusat panggilan khusus di talian 03-26167766 atau melayari laman sesawang https://bit.ly/pejabatAKPK untuk mencari cawangan kami berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 11:05 PM