AZADDIN Ngah Tasir. FOTO arkib NSTP
AZADDIN Ngah Tasir. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menyarankan peminjam mengambil langkah proaktif dalam menilai kedudukan kewangan mereka pada masa ini dan masa hadapan berikutan tempoh automatik moratorium bakal berakhir esok.

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata, pelanggan yang menjangkakan berdepan kesukaran untuk meneruskan pembayaran balik pinjaman harus menghubungi pihak bank masing-masing bagi berbincang pembayaran balik pinjaman mereka selepas moratorium berakhir.

"Ketika ekonomi negara sedang menunjukkan tanda-tanda pemulihan, kami faham masih terdapat ramai individu yang cuba sedaya upaya untuk menangani impak pandemik Covid-19.

"Terdapat pelbagai pilihan bantuan pembayaran balik pinjaman bersasar bagi membantu pelanggan menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik. Antaranya seperti mengurangkan jumlah komitmen bulanan, melanjutkan jadual pembayaran balik pinjaman atau menukar syarat-syarat pembiayaan bagi menyesuaikan diri mereka dengan situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini," katanya tadi.

Pihak AKPK akan menyediakan beberapa pelan pembayaran balik pinjaman yang sesuai selepas mempertimbangkan komitmen kewangan pelanggan secara menyeluruh.

"Pelanggan juga boleh mendapatkan nasihat dan bantuan daripada AKPK sekiranya cadangan dari pihak bank tidak memenuhi komitmen kewangan mereka secara menyeluruh ataupun mereka sudah pun mempunyai beberapa pinjaman dari bank," katanya.

AKPK juga ada menyediakan khidmat kaunseling dan pendidikan dalam pengurusan kewangan secara berhemat.

"Khidmat-khidmat itu akan membantu pelanggan untuk meningkatkan produktiviti mereka di tempat kerja dan dan seterusnya memberikan ketenangan minda apabila situasi kewangan terkawal," tambah beliau.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 6:33 PM