Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, proses bagi mengisi jawatan ditinggalkan pegawai dan anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang sebelum ini dituduh di mahkamah masih berjalan.

Katanya, beberapa jawatan yang kosong sudah diisi dan pihaknya sedang mengenalpasti pegawai dan anggota yang sesuai bagi mengisi beberapa lagi jawatan.

"Sekarang ini, kita sudah sedia maklum ada beberapa pegawai dan anggota yang didakwa di mahkamah dan ini akan menyebabkan beberapa kekosongan di jawatan berkenaan.

"Tindakan sudah kita ambil sekarang untuk membuat pengisian jawatan yang ditinggalkan itu bagi memastikan perjalanan operasi Esscom tidak akan terjejas pada masa depan," katanya pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, hari ini.

ACRYL Sani pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Auditorium, IPK Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin
ACRYL Sani pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis Sabah di Auditorium, IPK Sabah. FOTO Mohd Adam Arinin

Acryl Sani berkata, kini proses sedan berjalan untuk mengenal pasti pegawai dan anggota yang sesuai bagi ditempatkan di jawatan-jawatan kosong berkenaan.

"Ada yang sudah diisi dan ada yang dalam proses untuk dikenal pasti pegawai dan anggota yang sesuai," katanya.

Pada kejadian 13 Januari lalu, seorang pemandu e-hailing ditemui mati di sebuah ladang sawit, berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Batu 5, Tawau.

Susulan penemuan itu, polis mendedahkan penahanan beberapa individu, termasuk lapan pegawai dan anggota polis, bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2023 @ 2:36 PM