Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Setiap kali menjengah Ramadan, suasana pada waktu malam di kedai makan di Kelantan meriah dengan aktiviti makan colek selepas solat Terawih.

Disebabkan itu setiap kali Ramadan, teruja kerana hampir kebanyakan kedai akan menyediakan juadah colek dan saban tahun sambutan diterima menggalakkan.

Malah, mereka menyifatkan sambutan tahun ini lebih meriah berbanding tahun lalu, meskipun baru beberapa hari menyambut Ramadan.

Tinjauan di sekitar Kota Bharu dan Pasir Mas mendapati, hampir kebanyakan kedai meriah selepas jam 9.30 malam dengan aktiviti 'moreh' itu.

Antara hidangan colek yang disajikan terdiri daripada rojak buah, rojak ayam, makanan laut celup tepung, popia goreng, kerang rebus dan variasi salad yang dikenali sebagai somtam betik atau mangga.

Pemilik Damia Cafe di Kampung Kota, Mohd Nor Zakaria, 35, berkata, tahun ini adalah tahun kelima beliau menjual colek pada bulan Ramadan.

Katanya, Ramadan sentiasa ditunggu-tunggu oleh peniaga kedai makan kerana sambutan terhadap jualan colek memberangsangkan.

Beliau yang turut terkenal saban tahun apabila menyediakan pakej buffet colek berkata, tahun ini, kaedah sama dilakukan iaitu dengan mengenakan harga RM10 seorang bagi makanan dan minuman.

MOHD Nor Zakaria (kanan) bersama pengunjung menunjukkan pakej Rahmah colek dengan harga RM10 ketika ditemui di Kampung Kota. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MOHD Nor Zakaria (kanan) bersama pengunjung menunjukkan pakej Rahmah colek dengan harga RM10 ketika ditemui di Kampung Kota. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Untuk harga yang dinamakan pakej Rahmah colek itu, kita menyediakan 10 jenis makanan termasuk rojak buah, kerang, popia, ikan celup tepung dan paru.

"Kita masih mengekalkan harga yang murah walaupun barang agak mahal kerana mahu semua orang dapat merasai atau menikmati hidangan colek setahun sekali itu.

"Alhamdulillah, sambutan diterima lebih meriah berbanding tahun lalu dan pengunjung yang datang juga memberikan maklum balas yang positif dengan hidangan yang kita sediakan," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, pemilik Bestari Cafe di Pasir Mas, Norshaera Ahmad, 35, turut menyifatkan Ramadan adalah rezeki buat peniaga yang bukan sahaja berniaga pada siang hari sebaliknya menjual aneka colek pada malam hari.

"Ini hidangan yang kita anggap luar biasa kerana juadah colek hanya dibuat pada bulan Ramadan dan saban tahun termasuk masuk minggu kedua Ramadan, sambutan begitu menggalakkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 8:52 AM