Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan sedia pertimbang cadangan meningkatkan kadar pengeluaran Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pencarum menunaikan haji berbanding RM3,000 yang dibenarkan pada masa ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengadakan perbincangan lanjut dengan KWSP bagi meneliti dan memperhalusi cadangan berkenaan.

"Saya berasa ini cadangan baik, Insya-Allah saya akan berbincang dengan TH.

"Saya akan minta TH menyusun dan mengadakan perbincangan lanjut dengan KWSP untuk melihat isu dicadangkan Jerantut tadi," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) sama ada kementerian berbincang dengan KWSP untuk meningkatkan kadar pengeluaran RM3,000 itu.

Pengeluaran Akaun 2 yang dihadkan kepada RM3,000 bagi menunaikan haji dibenarkan sejak 2013.

Baru-baru ini, Ketua Strategis KWSP Nurhisham Hussein dilaporkan berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan meningkatkan jumlah pengeluaran menunaikan ibadat haji dalam Akaun 2 jika mendapat permintaan daripada kerajaan susulan kenaikan kos menunaikan haji.

Sebelum ini, Pengarah Eksekutif Haji, Lembaga Tabung Haji (TH) Syed Saleh Syed Abdul Rahman juga berkata, kos haji meningkat kepada RM30,850 berbanding RM28,632 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 1:10 PM