Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) melaksanakan dua keadaan pengecualian kepada jemaah yang membuat rayuan untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Ini kerana, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar berkata, secara umumnya mereka yang bukan dalam giliran tetapi membuat permohonan rayuan akan dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji, RM30,800.

"Mereka yang buat rayuan tetapi berada di luar giliran maka tanggapan TH ialah mereka ini terdiri daripada orang berkemampuan.

"Bagaimanapun TH meletakkan dua pengecualian kepada mereka yang membuat rayuan iaitu mahram kepada mereka yang dapat giliran untuk pergi contohnya suami dapat, isteri tertinggal, jadi kalau suami tergolong B40, isteri yang membuat rayuan layak dapat subsidi itu.

"Kedua, mereka yang membuat rayuan ialah pengiring contohnya yang dapat giliran pergi haji sudah tua atau uzur kesihatannya dan memerlukan pengiring, maka pengiring itu dapat bantuan kewangan TH," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung pengecualian bayaran penuh kepada pemohon B40 (tiada dalam giliran) yang membuat rayuan menunaikan haji.

Katanya, keutamaan giliran tahun ini diberikan kepada mereka yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun 2020 dan 2021 akibat sekatan Covid-19.

Mengulas berkaitan kuota, Mohd Nai'im berkata, kerajaan masih berusaha untuk meminta kuota tambahan dengan Arab Saudi.

"Tahun ini kita sudah menulis (permohonan) kepada kerajaan Arab Saudi untuk mendapatkan kuota tambahan.

"Kita masih lagi menunggu untuk jawapan rayuan kita buat itu," katanya.

Sementara itu, kerajaan membuat semak silang bakal jemaah haji terpilih dengan pangkalan data sedia ada bagi melaksanakan subsidi bersasar.

"Bagi haji musim 1444H, sebanyak 45.7 peratus terpilih dari B40, 52.3 peratus (M40) dan selebihnya dua peratus kumpulan T20.

"Kita mengenal pasti kumpulan jemaah haji B40 dan M40 berdasarkan senarai Bantuan Tunai Rahmah.

"Jemaah T20 pula dilihat berdasarkan pendapatan individu lebih RM15,000 sebulan, bukannya berdasarkan pendapatan isi rumah," katanya.

DR Mohd Nai'im Mokhtar. FOTO NSTP.
DR Mohd Nai'im Mokhtar. FOTO NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 11:44 AM