MANGSA kemalangan diberi bantuan kecemasan. FOTO Ihsan Bomba.
MANGSA kemalangan diberi bantuan kecemasan. FOTO Ihsan Bomba.
Khairulmizan Yahya


PEKAN: Gara-gara mengantuk, seorang lelaki gagal mengawal kereta yang dipandunya sehingga melanggar seorang pejalan kaki sebelum keretanya terjunam ke dalam sungai di Kilometer 55 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin, dekat Merchong, di sini, hari ini.

Kemalangan kira-kira jam 9.30 pagi itu bukan sahaja meragut nyawa pejalan kaki terbabit, malah penumpang yang juga isteri kepada pemandu kereta turut terkorban apabila ditemukan lemas di dalam sungai berkenaan.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Nor Katijah Mamat, 33, dari Taman Nusa Putri, Rompin manakala suaminya, Mohamad Aizuddin Karim, 27, cedera ringan dan dirawat di Hospital Pekan.

Seorang lagi mangsa yang meninggal dunia iaitu pejalan kaki adalah warga asing namun identiti sebenar belum diperoleh.

Ketua Polis daerah, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Saga yang dinaiki suami isteri itu dalam perjalanan dari Pekan menghala ke Rompin.

"Apabila sampai di tempat kejadian pemandu kereta dipercayai mengantuk lalu terbabas ke kiri jalan dan terlanggar seorang warga asing di tepi jalan.

"Pemandu kemudian memulas stering kereta ke kanan lalu terbabas masuk ke dalam sungai menyebabkan penumpang hadapan lemas sebelum mayatnya ditemui penduduk kampung," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa di hantar ke Unit Forensik Hospital Pekan, di sini, untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 4:02 PM