Anggota bomba memberi rawatan awal kepada seorang remaja lelaki yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Rasah menghala Ampang Pecah, dekat Kampung Napi, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba memberi rawatan awal kepada seorang remaja lelaki yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Rasah menghala Ampang Pecah, dekat Kampung Napi, Kuala Kubu Bharu, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Seorang remaja lelaki putus jari kelingking selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Rasah menghala Ampang Pecah, dekat Kampung Napi, Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.44 petang.

Menurutnya, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan sebuah kereta Nissan Sentra yang dipandu remaja lelaki berusia 17 tahun.

"Kenderaan mangsa dipercayai terbabas melanggar pembahagi jalan lalu terbalik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Morni berkata, mangsa bagaimanapun bertindak keluar sendiri daripada keretanya sebelum bomba tiba di tempat kejadian.

Beliau berkata, selain jari kelingking putus, mangsa juga cedera di kaki kiri.

"Remaja lelaki itu kemudian diberi rawatan awal oleh pihak bomba sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh dengan menaiki ambulans," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 9:31 PM