GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Polis merampas rokok, minuman keras, minyak diesel dan minyak masak bernilai RM37.2 juta dalam Op Kontraban dan Op Tiris.

Operasi terbabit dijalankan Wildlife Crime Bureu/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman pada awal Januari sehingga 21 Mac lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, nilai rampasan rokok dan minuman keras tak berkastam berjumlah RM19,039,100.

Menurutnya, menerusi operasi terbabit, 43 individu ditahan bersama 27 kenderaan, membabitkan enam kereta, 11 lori, empat van, dua pacuan empat roda dan empat trak angkat susun.

"Turut dirampas 381,680 batang rokok, 290,008 minuman keras jenis tin dan 2,200 minuman keras jenis botol," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, dalam tempoh sama pihaknya juga turut melancarkan sebanyak 24 serbuan dengan nilai rampasan berjumlah RM18,175,654 menerusi Op Tiris yang menyasarkan kegiatan penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi.

"Operasi ini berjaya menahan seramai 76 orang manakala rampasan pula membabitkan 60 buah kenderaan, 387,800 liter minyak diesel dan 14,756 kilogram minyak masak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 7:07 PM