DATUK Ravi Muthayah (kanan) membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Asahan, Bestari Jaya, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
DATUK Ravi Muthayah (kanan) membersihkan rumah mangsa banjir di Kampung Asahan, Bestari Jaya, hari ini. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang mengenal pasti jumlah pekebun kecil yang terjejas banjir untuk menyalurkan bantuan sewajarnya.

Ketua Setiausaha KPKK, Datuk Ravi Muthayah berkata, pihaknya kini sedang mengumpulkan maklumat dengan bantuan semua agensi di bawah KPKK bagi tujuan itu.

Katanya, antara agensi terbabit adalah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Lembaga Koko Malaysia (LKM).

"Mengambil contoh pokok kelapa sawit, sekiranya tanaman itu ditenggelami air lebih daripada lima hari ia akan menjejaskan hasil pengeluaran buah sawit.

"Kita mengambil kira semua kerosakan yang dialami pekebun kecil dan semua maklumat yang diperoleh akan dimaklumkan kepada kerajaan untuk bantuan," katanya ketika ditemui di program Misi Bantuan Banjir KPPK di Kampung Asahan, Bestari Jaya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah LKM, Dr Ramle Kasin dan Pengerusi MRC, Dr Daroyah Alwi.

Ravi berkata, kerajaan juga sedang menilai laporan 64 kilang perabot terjejas banjir dengan anggaran keseluruhan kerugian berjumlah kira-kira RM10 juta.

Dalam pada itu katanya, setakat ini sebanyak RM500,000 dibelanjakan KPPK bagi tujuan misi bantuan banjir.

"Selain sumbangan wang tunai, ia membabitkan bantuan seperti peralatan dapur, makanan dan tilam.

"Kita turut bercadang untuk menyalurkan bantuan perabot kepada mangsa banjir antaranya menerusi bantuan persatuan kayu kayan yang ada," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 January 2022 @ 3:12 PM