Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Hanya RM3.50, ini sahaja harga yang perlu dibayar penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi mendapatkan hidangan tengah hari sepinggan nasi berlauk ayam atau ikan, sayur dan air sirap di Kafe Cikgu Anjung Ria, Fakulti Kontemporari Islam UniSZA, di Gong Badak, di sini.

Harga lebih murah berbanding Menu Rahmah itu ditawarkan pemilik kafe berkenaan, Hamid Yahya, 61 dan isterinya, Minah Rajab, 58, yang mula berniaga sejak September tahun lalu.

Hamid yang berasal dari Kedah berkata, kehidupannya yang susah ketika kanak-kanak selain mengamalkan konsep perniagaan kongsi rezeki mendorongnya untuk menjual makanan tengah hari serendah harga berkenaan.

"Jika fikir mengenai untung, ia tidak besar lebih-lebih lagi harga bahan mentah terutama ayam dan ikan meningkatkan berbanding sebelum ini, tapi kami tetap menjual dengan harga RM3.50.

"Hal ini kerana kami tidak hanya memikirkan keuntungan yang besar semata-mata, sebaliknya konsep perniagaan kami adalah kongsi rezeki kerana kami didapati ramai dalam kalangan penuntut datang daripada keluarga yang susah, lebih memahami lagi saya juga datang daripada keluarga yang susah," katanya.

Selain itu katanya, penuntut juga memerlukan kos yang banyak untuk membayar rumah sewa, tambang pengangkutan, belian peralatan untuk belajar dan kos yang lain.

Menurutnya, lantaran tidak sampai hati melihat keperitan yang dialami penuntut, mereka memilih untuk menjual makanan tengah hari dengan harga RM3.50.

"Makanan tengah hari boleh dinikmati seawal jam 9.30 pagi dengan pelbagai menu masakan atau ikan terpilih termasuk sayur campur, sambal belacan dan ulaman serta air, selain itu kafe kami juga turut menjual sarapan pagi.

"Selepas tujuh bulan, sambutan begitu menggalakkan dengan rata-rata pelanggan mendakwa berbaloi dengan harga dan menu yang ditawarkan selain makanan sedap," katanya.

Seorang penuntut, Nurul Husna Izzati Anuar, 20, dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi berkata, kafe berkenaan menjadi pilihannya kerana harga murah selain makanan sedap.

"Sebagai penuntut, sudah pasti kami mencari kafe yang menyediakan makanan yang murah serta sedap lebih-lebih lagi kami datang daripada keluarga yang susah, jadi Kafe Cikgu adalah menjadi pilihan," kata penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab kelahiran Kelantan itu.

Bagi Nurul Hafizah Ahmad Suhaimi, 20, harga yang ditawarkan di kafe berkenaan dapat mengurangkan bebannya dan rakan-rakan.

"Harganya terlalu murah, harap kafe lain di UniSZA ini dapat tawarkan harga yang sama lebih-lebih lagi saya juga datang daripada keluarga yang kurang berada," katanya.

PEMILIK Kafe Cikgu, Hamid Yahya (kiri) melayan pelanggan. FOTO Malik Muhamad
PEMILIK Kafe Cikgu, Hamid Yahya (kiri) melayan pelanggan. FOTO Malik Muhamad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 5:37 PM