MUHAMMAD Sanusi Md Noor. FOTO Arkib NSTP.
MUHAMMAD Sanusi Md Noor. FOTO Arkib NSTP.
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Kerajaan negeri tidak akan sesekali berhenti menuntut bayaran caj air daripada Pulau Pinang yang sepatutnya dibayar negeri itu selepas mendapat pelbagai manfaat daripada pengorbanan Kedah.

"Pulau Pinang tak tahu (kepentingan kawasan tadahan), dia tahu ambil air di bawah saja, patutnya kena bayar kepada Kedah," kata Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Muhammad Sanusi berharap, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dapat menjadi orang tengah dalam menyelesaikan isu antara kedua-dua kerajaan negeri yang masih berlarutan sehingga kini.

"Setakat ini, tiada perkembangan berhubung isu ini, sikap mereka (Pulau Pinang) masih sama, kalau keadaan ini berterusan akan ada langkah lain yang kita perlu ambil.

"Dahulu, pihak kementerian ada juga usaha buat pertemuan, tetapi selepas tukar kerajaan dan di bawah menteri baharu, belum dibuat lagi.

"Perlu ada orang tengah jadi pengendali untuk mengadakan rundingan dan pertemuan, saya harap Kerajaan Pusat dapat jadi perunding dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ambil inisiatif itu," katanya ditemui pada majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, semua pihak seharusnya sudah memahami isu tuntutan caj air berkenaan kerana ia membabitkan pengorbanan yang dibuat Kedah bagi memastikan sumber air dapat dinikmati semua pihak.

Jelasnya, antara pengorbanan yang dibuat Kedah adalah mengekalkan kawasan tadahan, khususnya Hutan Simpan Ulu Muda seluas 163,000 hektar, selain kawasan lembangan Sungai Muda tidak boleh dibangunkan sama sekali.

"Kita sama sekali tidak akan berhenti (menuntut caj air), saya rasa semua sudah faham isu ini. Ia membabitkan kos penyelenggaraan, isu pengekalan kawasan tadahan dan lembangan Sungai Muda dari hulu hingga ke bawah.

"Lembangan Sungai Muda yang dimiliki Pulau Pinang hanya lima peratus sahaja, kos memastikan air dapat dilepaskan di sungai adalah tinggi, kita tak dapat bangunkan tanah dan kawasan lembangan sungai. Kita tanggung semua kos yang besar dan tinggi, jadi Pulau Pinang sepatutnya bayar," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menuntut pampasan pengekalan hutan berjumlah RM100 juta yang perlu dibayar kepada Kedah selepas mengambil kira kerugian akibat kehilangan hasil hutan serta kos penyelenggaraan sumber.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2023 @ 1:22 PM