NURUL Amin (tengah) bersama Mohd Fadzil (kanan, depan) dan Mohd Saffuan (kiri ,depan) memegang kenyataan media mengenai sokongan tuntutan caj bekalan air kerajaan Kedah kepada Pulau Pinang pada  sidang media di Kuala Kedah. FOTO Amran Hamid
NURUL Amin (tengah) bersama Mohd Fadzil (kanan, depan) dan Mohd Saffuan (kiri ,depan) memegang kenyataan media mengenai sokongan tuntutan caj bekalan air kerajaan Kedah kepada Pulau Pinang pada sidang media di Kuala Kedah. FOTO Amran Hamid
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pemuda Pas bersama Pemuda Umno serta Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Kedah meminta kerajaan Pulau Pinang dan Kedah menyemak semula perjanjian bekalan air antara kedua-dua negeri itu yang dimeterai pada 1985 mengikut keperluan masa kini.

Menerusi sidang media bersama, Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid berkata, semakan semula perjanjian itu perlu berikutan pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengekstrak 80 peratus iaitu 1,100 juta liter padu (mld) sumber air dari Sungai Muda sehari pada masa kini.

"Penggunaan air sangat tinggi itu bersumberkan air yang mengalir dalam Sungai Muda dari kawasan tadahan air Hutan Ulu Muda. Kedah sudah banyak menanggung kos penyelenggaraan sumber dan aliran air sementara Pulau Pinang menikmati faedah dan keuntungan secara percuma.

"Jadi selepas 35 tahun, penggunaan air di Pulau Pinang sangat tinggi berbanding Kedah, jadi adalah wajar perjanjian itu disemak semula," katanya.

Turut serta dalam sidang media itu ialah Ketua Pemuda Umno Kedah, Mohamad Fadzil Zolkipli dan Ketua Armada Bersatu Kedah, Mohd Saffuan Sabari.

Nurul Amin berkata, pihaknya bersama Pemuda Umno dan Armada Kedah, menyokong penuh tuntutan kerajaan Kedah sebanyak RM50 juta setahun daripada Pulau Pinang atas penggunaan sumber bekalan air berkenaan.

Katanya, isu itu tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana pihak sehingga mengenepikan isu asal iaitu isu pemuliharaan kawasan tadahan air.

"Tuntutan ini munasabah kerana ia amat diperlukan untuk kerajaan Kedah melaksana program pengekalan dan kelestarian kawasan itu untuk menjamin bekalan air mencukupi kepada 4.06 juta rakyat Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

"Oleh itu, semangat setiakawan sebagai negeri yang berjiran boleh dijelmakan dalam bentuk toleransi dan mahabbah kerana tuntutan ini berfakta serta memiliki nilai keuntungan masa depan bersama berikutan pengekalan dan pemuliharaan kawasan tadahan air Hutan Ulu Muda akan menjamin sumber air bagi generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 6:03 PM