Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Sifat kemanusiaan Abdul Ghani Mohamad yang menebal dan kesediaannya berkongsi bot dan jet ski untuk membantu pihak berkuasa dihargai dalam sambutan Peringatan Hari Polis ke-216, hari ini.

Abdul Ghani, 45, antara individu yang menerima sijil penghargaan atas baktinya dalam membantu operasi banjir dan orang lemas oleh pihak berkuasa, malah sudah lebih 10 tahun bekerjasama.

Katanya, dia memiliki dua bot dan tiga jetski, sentiasa menawarkan diri turut sama membantu dalam apa sahaja operasi sama ada mencari mangsa lemas atau memindahkan mangsa banjir.

Operasi terbaharu disertainya adalah pencarian mangsa lemas di Sungai Kelantan berhampiran Pangkalan Pasir Hj Pa di Paloh Rawa, Machang, pada penghujung Januari lalu.

"Memandangkan saya memiliki bot termasuk sebuah bot laju, bantuan sering diminta untuk membantu pihak berkuasa dalam mencari mangsa lemas.

"Dalam kes buruh berusia 23 tahun yang terjatuh dari bot pancung di Paloh Rawa baru-baru ini, misi mencari dan menyelamat (SAR) berlangsung empat hari.

"Sepanjang tempoh itu saya turut serta cari mangsa dengan bot sebelum mangsa ditemukan kira-kira 23 kilometer (KM) dari lokasi jatuh," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.

Menurutnya, dalam operasi banjir, dia banyak membantu untuk menghantar bekalan makanan kepada mangsa di Machang dan Kuala Krai selain membantu penduduk kampung mendapatkan barang keperluan.

Katanya, sijil penghargaan diterima itu akan menjadi pembakar semangat untuk dia terus berbakti kepada negara dan masyarakat.

AZMAN (kiri) bersama Abdul Ghani Mohamad yang sentiasa membantu pihak berkuasa sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-216 peringkat Kontinjen Kelantan di perkarangan di IPK Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AZMAN (kiri) bersama Abdul Ghani Mohamad yang sentiasa membantu pihak berkuasa sempena sambutan peringatan Hari Polis ke-216 peringkat Kontinjen Kelantan di perkarangan di IPK Kelantan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 3:12 PM